Usaha tarik sokongan Pas tidak pernah berhenti
RAZALI IDRIS
Oleh ZAID MOHD. NOOR
28 Ogos 2024, 7:15 am
KUALA TERENGGANU: Usaha pihak lawan untuk menarik sokongan Pas dan Bersatu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah terhenti sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan tersebut merupakan antara propaganda politik yang bertujuan memecah-belahkan gabungan PN tetapi tidak pernah berjaya.
“Memang ada usaha memancing Pas dan ada sebahagian daripada Bersatu untuk keluar PN. Itu propaganda politik dan sekarang kami bersiap sedia hadapi pilihan raya akan datang, selain yakin dengan pengukuhan parti yang diambil oleh kepimpinan atas.
“Pas dan Bersatu merupakan ‘pengasas’ kepada PN, kalau Pas dan Bersatu keluar daripada PN, maka terbubarlah PN,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pas mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata, Pas perlu melihat dari semua aspek baik dan buruk jika bersama Kerajaan Perpaduan.
Katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan dalam Majlis Syura Ulama, namun sekadar dibincang sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya.
Razali turut menafikan berlaku keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu.
“Saya juga berhubung (baik) dengan Pas. Jadi tak ada masalah (antara kedua parti),” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan