5,822.59 hektar padi rosak akibat banjir




5,822.59 hektar padi rosak akibat banjir

PESAWAH, Mat Rashid Harun, 62, terpaksa menuai awal hasil padinya agar tidak rosak di Sungai Baru, Utan Aji, Kangar, Perlis. – Mingguan/IZLIZAN OTHMAN
Oleh NURUL IRDINA SUMALI
22 September 2024, 6:40 am


PETALING JAYA: Sawah seluas 5,822.59 hektar di utara Semenanjung telah ditenggelami banjir dengan anggaran nilai kerugian hasil padi sebanyak RM32 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu memberitahu, berdasarkan daripada laporan awal yang diterima, pihaknya menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat Pusat, negeri dan daerah bagi memantau situasi banjir di kawasan terlibat.


Katanya, Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri itu akan memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi untuk mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku.

“KPKM juga telah mengarahkan KPKM Inc. untuk mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Langkah itu dilakukan bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan bencana banjir sentiasa dikemaskini dan disampaikan kepada kumpulan sasar.

“KPKM juga bersedia menggerakkan aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat semasa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya dalam kenyataan.


Menurut Mohamad, dalam usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan bencana, KPKM menyediakan bantuan-bantuan pasca bencana kepada warga yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan selain tanaman padi.

Tambahnya, AgroBank turut mengumumkan tawaran moratorium kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir yang berlaku sekarang. – UTUSAN

Ulasan