800,000 pelancong Thailand masuk Kelantan hingga Jun


800,000 pelancong Thailand masuk Kelantan hingga Jun
September 18, 2024


KOTA BHARU: Masyarakat di negara ini hanya didedahkan rakyat Malaysia ke Thailand begitu ramai khususnya pada musim cuti sekolah, sedangkan seramai 800,000 pelancong memasuki negara dari Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, mereka memasuki negara ini melalui tiga pintu masuk di negeri ini sejak Januari hingga 30 Jun.

Menurut beliau, kemasukan pelancongan tersebut melalui tiga pintu masuk utama Malaysia-Thailand iaitu di Rantau Panjang (Pasir Mas), Pengkalan Kubor (Tumpat), dan Bukit Bunga (Tanah Merah).

Jelasnya, maklumat itu hasil laporan yang diperoleh pihaknya dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Ramai yang hanya melaporkan orang kita ke sana (Thailand) tetapi dari Thailand masuk ke sini tiada yang hebohkan.

“Kebanyakan mereka (pelancong) ini datang dari Thailand, Eropah dan sebagainya,” katanya kepada media di Dewan Perniagaan Cina, di sini malam tadi selepas merasmikan Sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024.

Tambah Kamarudin lagi, kebanyakan rakyat dari negara jiran terutama selatan Thailand ke Kelantan kerana di sini terdapat pasar raya yang menjual barangan berjenama.

Beliau memberitahu, di selatan Thailand kawasan itu mempunyai pasar raya namun tidak menjual barangan berjenama disebabkan itu mereka memilih datang ke Kelantan.

“Mereka ke sini bukan hendak makan tetapi memilih berkunjung ke pasar raya,” katanya.

Mengenai kemasukan pelancong ke negeri ini, menurut Kamarudin, seramai 1.5 juta pelancong telah direkodkan sehingga 30 Jun lalu sepanjang Tahun Melawat Kelantan (TMK). – HARAKAHDAILY 18/9/2024

Ulasan