Apa muslihat KPKT diterajui Nga Kor Ming gubal URA?



Apa muslihat KPKT diterajui Nga Kor Ming gubal URA?

Akta Pembaharuan Semula Bandar
September 20, 2024

TASEK GELUGOR: Sistem pemerintahan dan perundangan Islam dalam mentadbir urus tanah amat berbeza dengan sistem dan perundangan konvensional, demikian tegas bekas Pengarah Dokumen Hijau PAS, Ustaz Zaharudin Muhammad.

Jelasnya, punca kuasa sistem Islam adalah al-Quran dan as-Sunnah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang menjamin keadilan, di mana tanah diteroka atau dihidupkan atau dibeli adalah diperakui sebagai hak milik sah seseorang rakyat.

Malah katanya, Nabi SAW memberi peringatan bahawa sebarang usaha di pihak lain termasuk pemerintah yang berusaha mengambil tanah selepas ia dihidupkan atau dibangunkan setelah dibeli atau seumpamanya, maka tindakan itu adalah zalim.

“Menurut syariat, pemilikan secara teroka berbanding dengan pemilikan secara beli, pemilikan secara beli adalah lebih kuat. Pemilikan secara teroka tidak sekuat pemilikan secara beli. Islam menyatakan itu hak dia (rakyat).

“Selepas dia bangunkan rumah dan seumpama, itu hak dia. Kalau ada orang ambil (tanah dimiliki itu), kata Nabi, itu zalim! Maknanya kita pemilik tanah yang kita perolehi secara teroka.

“Katakan arwah ayah kita teroka tanah, tiba-tiba ada orang nak ambil. Kita wajib pertahankan. Sebab apa? Nabi kata itu hak kamu. Orang yang ambil (rampas) itu adalah zalim, kata Nabi SAW. Itu hak kita dalam Islam.

“Apatah lagi kalau tanah itu kita miliki secara beli. Ataupun daripada keturunan kita yang memiliki secara beli. Itu lagi kuat dan kalau dirampas selepas itu adalah lebih zalim berbanding dengan rampas dari pemilikan secara teroka,” jelasnya.

Tegas beliau, siapapun menerajui pemerintahan kerajaan, hak pemilikan tanah sedemikian sepatutnya tidak boleh disentuh sama sekali, hatta Parlimen tidak sepatutnya mempunyai perundangan mengatasi al-Quran dan as-Sunnah.

Apatah lagi kata Ustaz Zaharudin, untuk kerajaan bertindak mengusir atau menghalau rakyat dari tanah yang menjadi miliknya, namun dalam sistem konvensional pemilikan tersebut sewenang-wenangnya boleh dicabut.

Peruntukan akta sedia ada

Menurut beliau, peruntukan perundangan berkaitan tanah sedia ada ketika ini tidak semudahnya untuk pihak tertentu mahu mengambil alih daripada pemilikan rakyat, namun kerajaan cuba menggubal draf akta baharu.

Jelasnya, itulah kelompangan sistem konvensional apabila punca kuasa Parlimen semudah-mudah mengubah perundangan bagi memenuhi agenda muslihat pihak tertentu yang ianya tidak berlandaskan keadilan Islam.

Beliau memberi contoh pengambilalihan hartanah dimiliki rakyat seperti apartmen di mana memerlukan persetujuan 100 peratus penduduk, namun akta baharu mahu digubal cuba diubah ambang itu kepada 70 atau 50 peratus sahaja.

Katanya, apabila ambang persetujuan diturunkan sedemikian, tidak mustahil boleh berlaku rasuah daripada pihak tertentu kepada sebahagian penduduk bagi mencapai persetujuan tersebut secara curang, lalu pengambilalihan boleh berlalu.

Kupasannya itu merujuk kepada Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diterajui Nga Kor Ming dari DAP di mana dijangka digubal di Parlimen pada persidangan akan datang.

Kg Sg Baru KL jadi ‘pintu gerbang’

Beliau menyifatkan Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur (Kg Sg Baru KL) sebagai ‘pintu gerbang utama’ isu ini di mana sekiranya kerajaan berjaya merampas tanah di situ dari sebahagian 1,300 ekar yang disasarkan di Ibu Negara, maka ia akan ‘merebak’.

Pada pandangannya, jika rampasan tersebut berjaya, tindakan seumpama akan melarat ke banyak bandar-bandar utama lain, terutama di negeri Pulau Pinang dan juga Johor di mana berdasarkan pengalamannya, sasaran yang kena adalah orang Melayu-Islam.

Jelas beliau, sekalipun seseorang memiliki tanah yang kecil dan rumah buruk, tetapi orang lain hatta ketua pemerintah tertinggi kerajaan pun tidak boleh melangkah masuk ke dalam kediaman itu tanpa keizinan daripadanya.

Tanah nilai kuasa, bukan komersial

Tanah tegas Ustaz Zaharudin, adalah ‘nilai kuasa’ dan bukannya untuk komersial yakni tawar-menawar atau jual-beli atau gadaian atau pajakan bagi mendapatkan wang, sebaliknya adalah kedaulatan dan maruah.

Bidasnya, tidak ada guna mempunyai wang yang banyak tetapi tidak memiliki tanah, hinggakan di mana sahaja seseorang itu duduki, menyebabkan ia berpotensi diusir atau dijajah atau bagai menjadi pelarian di buminya sendiri.

Beliau amat kesal dengan ‘kempen’ kerajaan yang sering mencanang tanah dengan pelbagai tujuan komersial, komisyen dan pampasan selain spekulasi, hingga rakyat tidak bertindak serius untuk memiliki haknya terhadap tanah.

“Perkara ini disebutkan oleh Nabi SAW bahawa sesiapa yang jual tanah dan mendapat wang, tetapi wang itu tidak digunakannya untuk membeli semula tanah, maka Allah tidak memberkati jualannya,” ujar beliau.

Terangnya, hadis tersebut menegaskan betapa penjualan tanah adalah perkara khusus di mana ia mesti diganti dengan pembelian tanah juga, dan bermakna larangan untuk tanah atau kediaman yang dimiliki dari dijual bagi tujuan komersial.

“Kalau dia orang bagi pampasan RM250,000 dekat kita, nak cari kat mana rumah yang boleh beli dengan harga RM250,000 sekarang? Tak ada,” ujarnya menegaskan tanah sebagai kuasa mesti difahamkan kepada orang Islam.

Iktibar besar dari Palestin

Ustaz Zaharudin mengimbas iktibar penting dari penjajahan yang berlaku ke atas Palestin di mana ceritanya ia tidak bermula secara rampasan bersenjata, tetapi menerusi pembelian pemilikan tanah dan juga pengkhianatan.

Katanya, usaha Yahudi melalui peranan British telah mula berusaha sejak tahun 1800 lagi dengan memujuk dan menekan Khalifah Uthmaniyah di bawah Sultan Abdul Hamid untuk menjual tanah Palestin kepada mereka.

Namun Sultan Abdul Hamid ceritanya, tegas tidak mahu menjual walau sejengkal tanah Palestin kerana bumi tersebut dinyatakannya bukan milik peribadi tetapi hak Kerajaan Khalifah Uthmaniyah.

“Kami mengambil bumi ini daripada musuh yakni Rom dengan pertumpahan darah, dengan kekuatan tentera dan kami tak akan serahkan bumi ini melainkan kamu juga ambil dengan pertumpahan darah.

“Demi Allah aku takkan serahkan walaupun kamu potong jasad aku seketul-seketul,” ujar Ustaz Zakarudin memetik kata-kata Sultan Abdul Hamid sebelum digulingkan oleh Kamal Attaturk laknatullah.

Pun begitu jelas beliau, tidak mudah proses untuk jual beli tanah Palestin tersebut berlaku, tetapi terjadi oleh pengkhianatan golongan bangsawan Lubnan yang membeli daripada orang tempatan untuk dijual kepada warga asing.

Golongan warga asing itu pula katanya, menjadi proksi kepada ejen antarabangsa hingga akhirnya mereka dapat memiliki tanah berkeluasan 400,000 ekar iaitu sekitar 57 peratus bumi Palestin secara pembelian.

Selepas itu ceritanya, keluasan tanah dibeli ditambah lagi 250,000 ekar terutama di sekitar Baitulmaqdis dan setelah itu baharulah berlaku siri-siri peperangan bersenjata merampas kependudukan rakyat Palestin oleh kaum Yahudi.

Impak masa depan projek MMH2

Turut disuarakannya adalah kebimbangan daripada perkembangan projek Malaysia My Second Home (MMH2) di mana bersama langkah demi langkah dan masa panjang, ia memungkinkan warga asing memohon kerakyatan.

Terang Zaharudin, perkara tersebut boleh terjadi apabila warga asing yang mengikuti program tersebut mempunyai kediaman dan duduk lama di negara ini hingga beranak-pinak, maka tidak mustahil akan memohon kerakyatan.

Kerana itu tegas beliau, tanah atau rumah kediaman tidak boleh dianggap nilai komersial hingga ia dijadikan tujuan untuk meraih keuntungan atau kekayaan secara jual beli, komisyen mahupun pampasan.

Katanya, usaha pendudukan bangsa asing untuk menguasai tanah atau penempatan ini sebenarnya sudah dimulakan penjajah sejak tahun 1886 di negara ini tetapi tidak berjaya dan dilakukan pula pasca-Merdeka.

Sehingga ujarnya, dalam membicarakan isu ini pernah disebut, ‘China menghalau Siam, Siam halau Melayu, Melayu halau kera’, merujuk kedatangan orang dari China membeli tanah daripada orang Siam yang meniaga di pekan atau bandar.

Kemudian ulasnya, orang Siam berpindah dengan berperang mengusir kependudukan Melayu di desa, lalu orang Melayu lari membuka penempatan di hutan setelah menghalau kera dan segala binatang di belantara berkenaan.

Apa sebenarnya muslihat, motif URA?

Menurut Ustaz Zaharudin, akta baharu cuba digubal boleh diterima sekiranya bertujuan mengambil alih bangunan kediaman, misalnya flat untuk diroboh bagi tujuan pembinaan semula kerana ia tidak lagi selamat diduduki.

Malah, ianya juga tidak dapat dibaik pulih atau pembaikpulihan akan menyebabkan kos yang lebih tinggi berbanding dengan kaedah pembinaan baharu, tetapi dalam kes seperti di Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur ia sebaliknya.

Beliau yang berpengalaman berurusan dengan perkara sedemikian dan juga turun bertemu penduduk terbabit isu tersebut mendapati, kediaman di situ masih selamat untuk diduduki pemilik asal dan generasi mereka.

Pengambilalihan seumpama katanya, dirancang ke atas kawasan lain yang sepertimana diumumkan Menteri KPKT adalah meliputi seluas 1,300 ekar di mana kebanyakan kawasan tersebut adalah dihuni oleh kaum Melayu.

Pada pandangan beliau, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan pembaharuan semula bandar, adalah lebih baik dengan membesarkan lagi kawasan pinggir bandar yang ada agar kawasan bandar berkenaan menjadi semakin besar.

“Lagi cantik, lagi luas, kan lagi bagus. Sebab apa nak pergi ambil pendekatan sekeras itu (merobohkan yang sedia ada)? Jawabnya, penjajahan!” hujahnya membongkar perkara terselindung di sebalik tindakan berkenaan.

Manipulasi, penjajahan pemaju kapitalis

Dedah beliau, terdapat pemaju yang asalnya sudahpun berdepan masalah bankrap semasa syarikat terdahulu, tetapi kemudian mendapat projek dalam skala besar dengan pengambilalihan tanah secara lupus hak atau lucut hak pemilikan.

Katanya, pemaju bertindak melemahkan sebahagian penduduk setelah mendapat sedikit persetujuan daripada segelintir penduduk lain, di mana antaranya mengepung lokasi dengan zink atau penghadang kawasan, selain memotong bekalan air dan elektrik.

Segelintir penduduk lain pula dibayar pampasan yang menarik perhatian, namun hakikatnya jumlah tersebut tidak memadai atau mencukupi bagi membeli atau menggantikan kediaman baharu atau berpindah ke tempat baharu.

Penduduk juga ujarnya, mungkin dijanjikan untuk berpindah sementara ke penempatan tertentu sebelum diberikan kediaman yang akan dibangunkan, tetapi persetujuan diberi kepada pemaju membolehkan syarikat membuat pinjaman bank.

Daripada projek pembangunan semula itu dedah beliau, syarikat yang asalnya mempunyai modal sangat kecil, tetapi dengan cagaran tanah dan pinjaman bank diperolehi, membolehkan mereka mengaut keuntungan sangat besar.

Lebih malang bongkar beliau, wujud penduduk yang terpedaya kerana janji-janji diberi secara lisan sahaja, sedangkan segala pengambilalihan telah berlaku di mana selayaknya semua isu tersebut dikatakan sebagai satu penjajahan.

Ustaz Zaharudin turut menyifatkan wang pinjaman dari bank hakikatnya adalah wang rakyat yang terkumpul dari pelbagai sumber, tetapi pemaju menggunakan pinjaman dari asal wang rakyat itu untuk membayar pampasan atau merampas milik rakyat.

“Dia buat undang-undang, dia rampas, dia halau kita dengan jumlah pampasan yang tak sepatutnya mereka gunakan duit kita untuk beli hak kita. Ini realiti. Sebab itu sistem dia zalim. Sebab itu jangan fikir, dia pemaju dia kaya.

“(Sebenarnya) Dia pakai duit kita. Kalau tidak kerana dia dapat projek daripada kerajaan, dia tak akan dapat pinjam bank. Kalau tak kerana bank bagi pinjam, dia tak akan boleh buat projek pembangunan. Ini realitinya.

“Sebab itu saya tengok kalau kapasiti kewangan, pemaju-pemaju yang sederhana nak buat projek di Kuala Lumpur ni sebenarnya kalau ikut, mereka tak boleh buat projek pun. Tapi disebabkan sistem kita ni membenarkan kapitalis menguasai ekonomi kita.

“Kita dipaksa bayar itu, dipaksa bayar ini. Akhir duit kita, dia orang gunakan untuk rampas hak kita balik. Ini realiti dalam ekonomi kita sekarang,” ujarnya menggesa supaya pemilikan Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur dipertahankan.

Isu tanah Jalan Duta KL

Ustaz Zaharudin turut menyentuh isu pengambilalihan tanah untuk tujuan pembangunan Enklaf Duta Kuala Lumpur di mana kini pihak kerajaan berdepan perintah mahkamah untuk membayar lebih RM6 bilion kepada sebuah syarikat.

Menurut beliau, berdasarkan sistem Islam, pemilikan kepada syarikat tersebut tidak sah di mana ia diserah oleh British, sedangkan pemberian begitu luas dan dalam tempoh lama ia tidak dibangunkan oleh pihak tersebut.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh itu juga percaya syarikat tersebut tidak mempunyai keupayaan kewangan dan kerana itulah selama ini tidak mengadakan sebarang usaha pembangunan atau pemajuan tanah tersebut.

Tambah beliau, seandainya pada ketika ini syarikat berkenaan mempunyai wang sekalipun, ia mungkin diperolehi daripada dana awam, malah dilihat dari Kanun Tanah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, mereka tidak layak memiliki tanah itu.

Namun kesali beliau, tidak terlihat tindakan tegas terhadap isu ini di mana kerajaan pula berdepan perintah membayar pampasan besar, tetapi tanah atau kediaman penduduk kerajaan dilihat sibuk hendak rampas. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

Ulasan