Banjir Kedah makin pulih, 111 rumah berjaya dicuci
September 26, 2024
ALOR SETAR: Sebanyak 111 rumah kediaman mangsa banjir berjaya dicuci sempena Gotong-Royong Perdana Khidmat Malaysia Negeri Kedah yang diadakan semalam.
Operasi membersihkan rumah-rumah berkenaan diadakan secara serentak di lima kawasan terjejas iaitu Kuala Kedah, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang dan Alor Setar.
Program bermula jam 8:00 pagi itu berakhir jam 3:00 petang disertai 500 sukarelawan daripada Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Kedah, badan bukan kerajaan (NGO), termasuk bantuan bersepadu dari PAS Kawasan dan dewan-dewan.
Sekurang-kurangnya 10 rumah kediaman disasarkan untuk setiap kawasan yang terlibat dan memberi keutamaan kepada golongan kurang upaya, warga emas dan lain-lain.
Lebih memberangsangkan, ia turut disertai ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) seperti Badroll Bakhiar (Gurun), Azhar Ibrahim (Ayer Hitam) dan Dr Ts Mohd Suffian Yusoff (Bandar Baharu).
Juga termasuk Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid dan Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden serta lain-lain.
Sementara itu, kakitangan Pejabat Pentadbiran PAS Kedah, juga digerakkan untuk membantu pada operasi mencuci tersebut.
Banjir di Kedah dilaporkan semakin pulih apabila hanya 1,885 mangsa daripada 593 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,366 orang daripada 736 keluarga malam tadi.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa terlibat ditempatkan di 18 PPS di tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena.
Pendang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila terdapat 1,216 orang daripada 365 keluarga yang masih ditempatkan di 10 PPS diikuti Kota Setar sebanyak 605 mangsa (203 keluarga) di tujuh PPS.
Sementara di Pokok Sena pula masih terdapat satu PPS yang dibuka menempatkan 64 mangsa daripada 25 keluarga.
Setakat semalam, sebanyak 4,769 mangsa telah mendaftar keluar daripada PPS.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar, masih berada pada paras amaran iaitu 1.58 meter. – HARAKAHDAILY 26/9/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan