September 22, 2024
Ketika lawatan ke PPS Sekolah Menengah Tanah Merah, Pendang, hari ini.
PENDANG: Kerajaan negeri menghargai peruntukan bantuan pasca-banjir untuk negeri ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, peruntukan RM13 juta itu akan membantu membaik pulih infrastruktur rosak termasuk bantuan kepada pesawah padi terjejas dan membaiki kediaman penduduk yang rosak akibat banjir.
“Terima kasih kepada peruntukan yang diumumkan, saya harap akan ada lagi peruntukan tambahan,” katanya yang juga ADUN Jeneri.
Menurutnya lagi, kesan banjir kali ini dilihat menyeluruh di banyak daerah, tetapi tidaklah seburuk jika dibandingkan dengan kejadian 2010 lalu.
Dalam pada itu, beliau juga berharap fasa peralihan monsun yang diramal bermula pada 24 September ini tidak membawa gelombang kedua banjir di Kedah.
Sanusi berkata demikian ketika ditemui semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan bantuan awal RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS dan setakat ini terdapat lebih 2,000 KIR yang terlibat.
“Di daerah Kota Setar saya dimaklumkan berlaku peningkatan mangsa banjir, kerana air di hulu sungai tengah surut dan mengalir ke kawasan Kota Setar,” tambahnya.
Terdahulu, Sanusi yang baharu tiba ke tanah air malam tadi dari lawatan kerjanya ke Kumamoto City, Jepun, terus mengadakan kunjungan di dua PPS iaitu di Bukit Hijau dan Derang.
Beliau yang dijadualkan ke Pulau Okinawa selepas ke Kumamoto City telah memendekkan lawatan tersebut dan segera pulang ke tanah air semalam. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan