Bukan Islam dipengaruhi secara salah terhadap PAS

Bukan Islam dipengaruhi secara salah terhadap PAS
September 29, 2024

Dr Balachandran Gopal Krishnan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung (DHPP) PAS Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, cybertrooper dan media sosial milik DAP khususnya yang banyak melontar fitnah-fitnah dengan mengatakan masyarakat bukan Islam tidak akan menikmati kesejahteraan dan sebagainya sekiranya Islam memerintah.

“Tetapi kita kena balik kepada pangkal jalan. Apakah yang mereka katakan itu betul bila mereka katakan kalau Islam, kalau PAS memerintah tokong-tokong semua akan dirobohkan dia akan menjadi Taliban?

“Pergi ke negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS selama 30 lebih tahun, adakah mereka Taliban? Adakah mereka merobohkan kuil-kuil dan tokong-tokong? Mereka lebih meraikan tokong-tokong Siam, tokong-tokong kuil, kuil dan gereja semua ada sana,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, fitnah itu perlu diranapkan dengan cara orang bukan Islam perlu mencari kebenaran dengan mendekati DHPP supaya mendapat pandangan dan senario yang tepat.

Dalam pada itu, Dr Bala berkata, musuh PAS sudah mula menyedari bahawa orang bukan Islam sudah mula berjinak dengan PAS walaupun mereka bukan ahli DHPP.

“So seperti kita nampak sokongan di Sungai Bakap, daripada 10 peratus di Kuala Kubu Bharu, kita dapat 35 peratus, naik. So ini suatu suatu kebimbangan untuk mereka.

“So mereka dah mula main baliklah isu kalau PAS mentadbir akan tutup kuil, dia akan tutup kedai-kedai arak.

“Bagi kita apa yang kita perlu tahu adakah PAS meranapkan ataupun menutup benda-benda yang memberi kebaikan pada kita? Arak dan judi semua itu semua ugama melarang.

“So kalau PAS melarang kita pergi belajar melarang kita buka bisnes, kalau melarang kita buat kerja kita memang kita marahlah. Tapi mereka memberi ruang untuk semua untuk maju mereka beri keberkatan kepada kita,” jelas beliau.

Menurutnya, dirinya sendiri diberikan jawatan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu menunjukkan bahawa PAS serius dalam mengenali kaum bukan Islam.

Begitu juga katanya, bagi PAS untuk mengajar masyarakat bukan Islam bagaimana Islam dapat membantu dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, damai dan inklusif. – HARAKAHDAILY 29/9/2024

Ulasan