DHPP penting tangani salah faham terhadap Islam





DHPP penting tangani salah faham terhadap Islam
September 8, 2024

JERANTUT: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan kewujudan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang terdiri daripada keanggotaan bukan-Muslim menunjukkan bahawa PAS ialah sebuah parti politik terbuka atau inklusif.

Beliau yang merupakan Penasihat DHPP menegaskan bahawa DHPP adalah bukti perjuangan PAS merentasi agama dan kaum majmuk di negara ini iaitu sama sekali tidak mengabaikan kepelbagaian agama dan kaum yang wujud dalam Malaysia.


“Di Malaysia ini teras kepada politik Malaysia ialah iaitu orang-orang Melayu dan Bumiputera. Yang kedua meraikan kewujudan masyarakat majmuk yang ada Cina, India Benggali, Dayak, Murut, Kadazan dan sebagainya.

“Yang kedua untuk kita nak memperluaskan sokongan politik kerana kita tahu kadang-kadang orang-orang bukan-Islam merupakan yang menjadi penentu kepada kemenangan di dalam satu DUN ataupun Parlimen.

“Maka sudah tentulah peranan yang dimainkan oleh DHPP amat penting untuk kita
memperluaskan sokongan politik walaupun mereka yang terdiri daripada 30 ataupun 35 peratus pengundi di dalam satu DUN atau Parlimen,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Ketiga katanya, PAS mahu memperkukuhkan agenda perpaduan nasional di mana DHPP amat penting dalam menyokong usaha tersebut dan menangani pelbagai prasangka buruk dan agenda peribadi atau perkauman sempit.

Beliau menyindir ‘Perpaduan’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tetapi menghadkan tempat-tempat tertentu kepada Umno atau kepada DAP yang menjelaskan hakikat sebenar penipuan hubungan mereka itu.

Ustaz Idris sebaliknya melahirkan rasa syukur kerana usaha perpaduan dilaksanakan PAS menampakkan kebenarannya sebagaimana pemerintahan di Kelantan berjaya menepis tohmahan kononnya PAS bertindak ekstrem kepada kaum bukan-Islam.

Turut dikupasnya adalah berkenaan isu Islamofobia dan tuduhan penindasan atau kezaliman PAS ke atas bukan-Islam, termasuk terkini berkenaan sijil Halal di mana disifatkannya pihak berkenaan sedang ‘menjolok sarang tebuan’.

“Tiba-tiba dia membangkitkan isu ini. Maka sebab itu ini peranan yang kita minta DHPP untuk meredakan perkara itu,” ujarnya turut mengimbas kejayaan PAS dalam pilihan raya menerusi peranan DHPP.

Beliau menyeru DHPP memainkan peranan dalam kalangan masyarakat bukan-Islam untuk menangani pelbagai tuduhan dan salah faham terhadap Islam menerusi gerak kerja penerangan yang tersusun. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

Ulasan