Dilarang bersihkan sekolah terjejas banjir: Khidmat Malaysia terkilan
September 25, 2024
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menzahirkan rasa terkilan dan dukacita apabila terdapat halangan pihak tertentu yang melarang Sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia daripada memasuki sekolah-sekolah milik Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membersihkan premis sekolah yang terjejas akibat banjir di Kedah.
Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan pihak yang terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri ini telah merencatkan semangat perpaduan Kerajaan Madani, yang sebelum ini giat mencanang tentang keadilan dan semangat bantu-membantu sesama rakyat Malaysia.
“Jangan kerana perbezaan politik dan ideologi kita hilang nilai kemanusiaan serta jatidiri sebagai warga Malaysia yang prihatin dan cintakan kedamaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkara yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Seri Banai, Kedah walau bagaimanapun, mendapat perhatian ibu bapa di sekolah tersebut yang akhirnya membuka jalan kepada penglibatan sukarelawan Khidmat Malaysia dalam operasi pembersihan.
“Kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan seluruh jawatankuasanya yang bertindak bijak dalam membenarkan NGO Khidmat Malaysia dan rakan sekutunya untuk berkhidmat kepada warga SK Seri Banai.
“Justeru Khidmat Malaysia mengharapkan agar semua pihak menjadikan bencana seperti ini sebagai ruang terbaik untuk berbakti kepada rakyat yang terjejas dan sangat memerlukan pertolongan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Khidmat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada seluruh rakyat negeri Kedah, khususnya mereka yang terkesan akibat banjir dan ribut yang melanda hampir keseluruhan negeri beberapa hari lalu.
Menurutnya, kesengsaraan itu turut dikongsi oleh sebahagian penduduk di Pulau Pinang dan Perlis yang turut mengalami bencana banjir pada waktu yang sama.
“Di Kedah sahaja, banjir kali ini melibatkan seramai lebih 9,000 mangsa yang rata-rata ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang digazetkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” jelasnya.
Khidmat Malaysia, ujar beliau, melalui penyelarasan Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) telah mengaktifkan operasi bantuan bencana sejak hari pertama kejadian.
“Lebih 1,000 petugas dari seluruh negara telah dikerahkan bagi membantu mangsa dan keluarga yang terjejas akibat banjir ini,” katanya.
“Ssemua kekuatan telah digerakkan dengan kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat seluruh negeri Kedah, tanpa mengira warna atau parti politik untuk memberikan bantuan, termasuk membersihkan premis-premis awam seperti surau, masjid, dan dewan orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan