Dr. Mahathir bersahaja hadir ke sambutan Hari Kebangsaan
DR. MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan orang ramai ketika hadir sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya, semalam.
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
1 September 2024, 8:25 am
PUTRAJAYA: Pada usia 99 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih lagi bersemangat turun ke Dataran Putrajaya dan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Bekas Perdana Menteri itu hadir di Dataran Putrajaya dengan menaik kereta Proton X70 diiringi pegawai pengiring.
Dr. Mahathir dilihat memberhentikan kenderaannya berhampiran Menara Prisma sebelum turun menyantuni orang awam yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pagi semalam.
Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menyantuni orang awam yang berada berhampiran menara yang menempatkan Kementerian Ekonomi itu.
Orang awam yang berada di situ turut mengambil peluang bergambar kenangan dan bersalaman dengan negawaran itu.
Malah, tidak kurang yang bersorak gembira sambil menyambut kedatangan tokoh pemimpin itu.
Menerusi rakaman video secara langsung yang dikongsi Dr. Mahathir menerusi laman Facebook menunjukkan orang awam teruja dengan kehadiran negarawan itu.
Ketika rakaman itu dibuat, majlis sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan Ke-67 masih berlangsung.
Malah, Dr Mahathir turut dilihat merakam gambar kenangan sambil mengibar Jalur Gemilang berlatarbelakangkan pergerakan perarakan aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan