Fitnah: Pejabat MB Kelantan buat laporan polis
Tuduhan gadai tanah di Mukim Ketil, Bandar Utama Gua Musang
September 21, 2024
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dakwa difitnah berhubung isu gadai tanah di Mukim Ketil, Bandar Utama Gua Musang kepada satu syarikat dari luar Kelantan sebelum ini.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Hanifulfuad Hussin berkata, empat individu dikenal pasti menerbitkan video berkait perkara itu di akaun TikTok masing-masing.
Katanya, tuduhan itu amat tidak berasas, bersifat fitnah dan dilihat sebagai satu cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
“Kerajaan Kelantan memandang serius penyebaran fitnah berkenaan. Ia jelas berniat jahat, pada masa yang sama bertujuan untuk merosakkan kredibiliti dan integriti pentadbiran negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui pada media yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini petang tadi.
Sehubungan itu katanya, Pejabat Menteri Besar Kelantan membuat satu laporan polis tersebut terhadap individu-individu terbabit supaya tindakan undang-undang dapat dilaksanakan.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat penyebaran video-video fitnah dan khianat ini.
“Kami juga menggesa tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap mereka selaras peruntukan mengikut Seksyen 499, 500 dan 505 Kanun Keseksaan.
“Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana undang-undang lain yang berkaitan,” kata Hanifulfuad.
Tambah beliau, kerajaan negeri itu tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk fitnah dan hasutan yang boleh merosakkan kredibiliti mahupun integriti negeri itu.
“Kami juga yakin pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan