KLUANG: Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya tegas membantah penggunaan jentera kerajaan oleh Barisan Nasional (BN) sewaktu pilihan raya, namun kini dilihat ‘dua kali lima’ setelah bersekongkol bersama-sama.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun sekutu rapat PH iaitu NGO BERSIH mengkritik penggunaan jentera kerajaan oleh PH-BN di PRK Nenggiri, namun pemimpin PH senyap tidak berbunyi.
“Bila bercakap tentang menggunakan aset kerajaan ketika pilihan raya, dulu PH cukup kuat dengan prinsip integriti, sangat tegas dalam penggunaan aset kerajaan atas tujuan kempen politik menjelang mana-mana pilihan raya atau ketika pilihan raya berlangsung.
“Dulu PH kuat kritik BN dalam bab ini tapi sekarang menyepi. Dulu PH mendukung perjuangan BERSIH dan sanggup bermalam di atas jalan raya di Ibu Kota semata-mata untuk menuntut pilihan raya yang bersih,” imbas beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasminya sebentar tadi sebagai mengulas mengenai tindakan parti PH-BN yang kini mula aktif di DUN Mahkota menjelang berlangsungnya PRK di situ tidak lama lagi.
“Setiap hari ada sahaja berita Menteri, Timbalan Menteri dan seumpamanya turun ke Kluang, isytihar itu dan ini, melawat sana dan sini. Pagi pakai baju rasmi rasmi, petang dan malam pakai baju parti.
“Itu belum lagi kedatangan kepimpinan kerajaan negeri Johor ke DUN Mahkota yang bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula 14 September nanti,” ujarnya.
Kata Khairul lagi, pastinya tinjauan telah dibuat awal untuk melihat apa keperluan mendesak para pengundi di DUN Mahkota, apa yang masih kurang atau apa lagi janji yang belum sempat dipenuhi.
“Segalanya perlu disegerakan sebelum hari penamaan calon tiba. Jika tidak, nanti ‘terguna’ jentera kerajaan semasa kempen, buruk padahnya. Di PRK Nenggiri, aset kerajaan digunakan atau lebih sesuai disebut dipergunakan tanpa rasa bersalah,” katanya.
Tambah beliau, pada PRK Nenggiri lepas, mesin ATM pun menjadi bahan kempen oleh pihak PH-BN sehingga Kementerian Kewangan terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi untuk sediakan mesin ATM.
“Hari ini, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan umumkan akan buat jambatan baharu berharga lebih RM9.3 juta bakal dibina tahun depan di Kampung Baru Seri Tengah.
“Rezeki penduduk dan pengguna, sebab memang dah lama orang di sini supaya jambatan tersebut dinaiktaraf. Terima kasih Tok Mat Maslan sebab prihatin, walaupun ada orang kata prihatin ada makna,” sindirnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan tentang apa lagi yang Menteri dan Timbalan Menteri bakal tawarkan sempena PRK tersebut.
“Apa yang hampir pasti, tak mungkin mesin ATM akan ditawarkan di Mahkota, sebab mesin ATM mudah untuk ditemui di serata tempat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.
DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH. – HARAKAHDAILY 5/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan