Hampir 40,000 orang mati sendirian di Jepun


Hampir 40,000 orang mati sendirian di Jepun
70 peratus rakyat Jepun berumur 65 tahun ke atas ditemukan mati bersendirian di rumah.- AGENSI
Oleh Athirah Huda Zalhe
1 September 2024, 12:00 pm

TOKYO: Hampir 40,000 orang di Jepun dilaporkan meninggal dunia bersendirian di rumah mereka setakat separuh pertama tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, hampir 4,000 orang ditemukan selepas lebih sebulan meninggal dunia dan 130 mayat tidak disedari selama setahun, menurut Agensi Polis Kebangsaan.

Agensi tersebut berharap laporan ini akan mendedahkan isu yang semakin meningkat di negara tersebut berhubung sebahagian besar penduduk tua yang tinggal dan mati bersendirian.

Data daripada separuh pertama tahun 2024 menunjukkan sejumlah 32,227 orang yang tinggal bersendirian ditemukan mati di rumah, dengan lebih 70 peratus berumur 65 tahun ke atas.

Walaupun dianggarkan 40 peratus orang yang mati bersendirian di rumah ditemukan dalam masa sehari, laporan polis mendapati hampir 3,939 mayat ditemukan lebih sebulan selepas kematian dan 130 lagi terbiar selama setahun.

Kebanyakan mayat yang ditemukan adalah mereka yang berumur 85 tahun ke atas, diikuti 5,920 lagi dalam lingkungan usia 75 hingga 79 tahun serta 5,635 berumur antara 70 dan 74 tahun.

Menurut rangkaian televisyen awam Jepun, NHK, agensi polis akan menyerahkan laporan itu kepada kerajaan untuk meneliti isu kematian tanpa pengawasan.

Awal tahun ini, Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Jepun berkata, bilangan warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tinggal bersendirian dijangka mencecah 10.8 juta menjelang tahun 2050.

April lalu, kerajaan Jepun memperkenalkan rang undang-undang untuk menangani masalah kesepian dan pengasingan yang berlaku selama beberapa dekad, sebahagiannya disebabkan oleh populasi tua.

Tahun lepas, Perdana Menteri, Fumio Kishida berkata, negaranya berada di ambang tidak dapat berfungsi sebagai sebuah masyarakat disebabkan kadar kelahiran yang semakin menurun.

Beberapa negara jiran juga menghadapi cabaran demografi yang sama, termasuk China dan Korea Selatan.- BBC

Ulasan