Israel serang Bierut guna bom ‘bunker buster’ Amerika
September 28, 2024
Iran mendedahkan bahawa tentera Zionis Israel telah menggunakan bom 'bunker buster' ketika menyerang Beirut di Lubnan pada malam Jumaat, 27 September 2024. (FOTO: The War Zone)
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi mendedahkan tentera Zionis Israel telah menggunakan beberapa bom ‘bunker buster’ Amerika Syarikat ketika menyerang ibu negara Lubnan, Beirut pada malam Jumaat.
“Rejim Israel telah menggunakan beberapa ‘bunker buster’ seberat 5,000 paun yang telah dihadiahkan kepada mereka oleh Amerika Syarikat untuk menyerang kawasan perumahan di Beirut, Lubnan,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah.
Komander kanan Hizbullah menjadi sasaran serangan Israel ke atas ibu pejabat pusat kumpulan itu di pinggir bandar Beirut pada hari Jumaat itu, tetapi seorang pegawai kanan Israel pada Jumaat berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada serangan itu berjaya menumpaskan pemimpin Hizbullah itu, Sayyed Hassan Nasrallah, lapor Reuters.
Sementara Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kan’ani berkata, Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan udara maut terbaharu yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Beirut pada malam Jumaat itu ke atas Dahie di Beirut, menyebabkan sekurang-kurangnya dua nyawa terkorban dan 76 yang lain cedera.
“Pencerobohan Israel terhadap Lubnan adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang dan peraturan undang-undang antarabangsa, serta kedaulatan dan integriti wilayah, dan keselamatan negara Lubnan.
“Kesinambungan jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Lubnan jelas menunjukkan bahawa gesaan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat adalah satu penipuan yang jelas bertujuan untuk membeli masa bagi kesinambungan jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Lubnan,” tegas diplomat kanan Iran itu, lapor MNA pula.
Tambahnya, serangan gila Zionis yang semakin sengit terhadap Palestin dan Lubnan serta pembunuhan tanpa rasa takut terhadap orang awam yang tidak berdosa adalah hasil daripada sikap tidak bertindak masyarakat antarabangsa dalam menghadapi segala jenayah yang dilakukan oleh Tel Aviv.
Merujuk kepada sejarah cemerlang kegigihan berani dan heroik Penentangan Lubnan dan negara menentang Zionis, Kan’ani menyatakan keyakinan bahawa Gerakan Penentangan dan rakyat Lubnan akan keluar dari tahap penentangan ini terhadap musuh Zionis; dan Zionis, tegas beliau, tidak akan dapat mencapai matlamat jahat dan tidak sah mereka dengan mengambil jalan untuk mempergiatkan jenayah kejam mereka itu.
“Iran sekali lagi mengisytiharkan solidariti Iran dengan Lubnan, menekankan semula sokongan padu Teheran terhadap negara, kerajaan, dan Gerakan Penentangan Lubnan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan