Jaga keharmonian negara, pupuk patriotisme di hati rakyat



Jaga keharmonian negara, pupuk patriotisme di hati rakyat
August 31, 2024

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menyeru rakyat menjaga keamanan dan keharmonian negara, serta memupuk semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-67, hari ini.

“Pada tarikh bersejarah ini, marilah kita bersama-sama meraikan kemerdekaan negara tercinta kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, semangat perjuangan dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan harus sentiasa dikenang dan teruskan dalam kehidupan seharian.

Beliau berharap semoga negara kita terus maju, makmur, dan bersatu padu dalam menghadapi segala cabaran.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara, serta memupuk semangat patriotisme di hati setiap rakyat Malaysia,” katanya yang juga ADUN Tanjung Lumpur.

Menurutnya, aalam konteks kemerdekaan dalam Islam, banyak sejarah membuktikan pembukaan Islam ke serata pelosok tanah Arab dan ‘ajam menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman.

Sebagai contoh, jelasnya bagaimana Salahuddin al-Ayyubi buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam.

Begitu juga, katanya ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

Beliau berkata, kejayaan tentera di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi terzahir apabila pada 27 Rejab 583 Hijrah bersamaan 1187 Masihi, al-Quds telah diserahkan kepada pasukan tentera Islam.

Tambahnya, solat Jumaat yang pertama didirikan di Masjidil Aqsa selepas 88 tahun pada Jumaat berikutnya, 9 Oktober 1187.

Katanya, telah lebih 800 tahun selepas Sultan Salahuddin al Ayubi membebaskan kota Baitul Maqdis.

“Nama beliau tetap terpahat sebagai simbol kekuatan ummah mengembalikan hak yang dirampas tetapi pada masa yang sama membuktikan akhlak muslim yang mengasihi dan sifat Islam yang memayungi seluruh insan dan menjadi rahmat kepada alam,” ujarnya.

Beliau menambah, pembukaan kota Konstantinopel telah berjaya dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah.

Menurutnya, pembukaan itu menjadi tanda dan mukjizat kenabian yang pada satu hari nanti kota Konstantinopel pasti dibuka, maka benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu”. [Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)]

Katanya, selepas mengisytiharkan kemenangan, Sultan Muhammad al-Fateh menuju ke Gereja Hagia Sophia.

Ketika itu, ujar beliau penduduk Konstantinopel yang beragama kristian berserta para pendeta berkumpul dan mereka ketakutan apabila Sultan Muhammad al-Fateh mendekati pintu gereja.

“Mereka membayangkan akan dibunuh atau ditindas secara zalim, akan tetapi Sultan Muhammad al-Fateh menitahkan agar mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman dan baginda juga menjamin kebebasan kepada mereka mengamalkan kepercayaan mereka,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

Ulasan