‘Jangan takut Coach, saya dan keluarga undi Coach’
September 15, 2024
Sikap mesra Coach Haizan terserlah ketika bertemu dengan orang ramai sepanjang acara 'walkabout' di sekitar Pasar Tani Taman Makmur, Kluang Johor pada hari ini,15 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Marco)
KLUANG: “Saya dan ahli keluarga saya akan bagi undi pada Coach. Enam undi untuk Coach. Jangan takut Coach, kami mesti akan undi Coach.
“Saya tak boleh terang-terang Coach, sebab saya orang Umno, tapi saya akan undi Coach.”
Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh orang ramai yang ditemui ketika calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ ketika beliau mengadakan ‘walkabout’ petang tadi.
Acara tersebut yang merupakan sebahagian daripada rangka kempen bagi PRK itu berlangsung di Pasar Tani Taman Makmur, di sini, bagi bertemu orang ramai yang mengunjungi lokasi tersebut untuk membeli-belah.
Coach Haizan yang tiba di situ kira-kira jam 5.20 petang bersama jentera kempen PN bertegur sapa dengan para pengunjung bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon dan mengedarkan bahan kempen.
Kebanyakan pengunjung dilihat memberi reaksi positif dengan ramai daripada mereka seperti sudah lama mengenali beliau.
Coach Haizan yang ditemui usai program itu berkata, beliau sendiri tidak menyangka sambutan baik yang diberikan oleh orang ramai di situ.
“Mungkin mereka sudah kenal saya sebelum ini. Kita pun jenis ramah, senyum pada mereka jadi kita jadi mesra.
“Tetapi apa yang mereka ucapkan pada saya itu, sokongan pada saya, buat saya lebih bersemangat. Saya ucap terima kasih,” katanya ditemui Harakahdaily.
Antara yang beliau teruja, katanya, apabila sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli Umno, namun berjanji untuk memberikan undi mereka menyokong beliau.
Tambahnya, menjalani program kempen pilihan raya itu memang sesuatu yang memenatkan, bagaimanapun antara yang lebih memeritkan kerana kurang tidur.
“Penat tu saya tak kisah sangat, cuma kurang tidur tu agak perit juga. Tetapi itu saya dan semua jentera kita kena lalui untuk memastikan kejayaan.
“Pepatah dah kata ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Jadi kena kerja keras. Semuanya akan jadi kenangan yang manis apabila kita menang nanti,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula semalam sehingga jam 12 tengah malam Jumaat 27 September ini.
Tarikh 28 September ini pula ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.
Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK Mahkota, yang mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – HARAKAHDAILY 15/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan