‘Janji basmi kemiskinan juga tinggal janji’



‘Janji basmi kemiskinan juga tinggal janji’
September 30, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dipersoalkan perancangan bagi mengatasi isu kemiskinan walaupun Perdana Menteri ke-10 pernah menyatakan mahu menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun 2023.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kini sudah sembilan bulan berlalu, namun adakah kemiskinan di negara ini telah dinoktahkan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, atau sekadar janji kosong seperti janji-janji yang lain sebelum ini?

“Dulu beliau pernah dipetik berkata: ‘Kita tidak hanya bincang tentang high speed railway, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bangunan berkembar, Putrajaya dan sebagainya tetapi yang miskin nak beli susu anak tak cukup, nak beli pakaian sekolah pun tak cukup, jadi itu kita perlu beri keutamaan.’

“Dah cukupkah segalanya hari ini?,” soalnya berhubung janji Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dilaporkan media tempatan menyatakan rata-rata isi rumah di Malaysia menghadapi pertumbuhan pendapatan yang perlahan dengan kadar kemiskinan tegar semakin memuncak pasca pandemik Covid-19.

Keadaan isi rumah 2024 yang dilaporkan itu mendedahkan peratus isi rumah miskin tegar (absolute poverty) meningkat 0.6 peratus ke 6.2 peratus tahun 2022 berbanding 2019 dan kadar kemiskinan bandar meningkat dari 3.8 peratus tahun 2019 ke 4.5 peratus tahun 2022.

Roslan menyatakan bahawa jika semua janji Perdana Menteri dan Kerajaan PH-BN yang belum ditunaikan dihimpunkan, ia akan kelihatan semakin menggunung tinggi.

“Rakyat mula rasa tertipu dan hilang kepercayaan. Dalam pada itu Kerajaan-kerajaan negeri pembangkang terus mendapat layanan kelas dua manakala wakil-wakil Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan walau sesen pun.

“Ternyata penyakit janji-janji kosong ini sudah menjadi wabak serius yang sukar dibendung dan diubati.

“Rakyat perlu tuntut perubahan, Kerajaan dan Perdana Menteri ini sudah gagal tanpa perlu kita menunggu janji-janji baru pula. Vaksinnya bangkit berubah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2024

Ulasan