Konvensyen DHPP buka tirai Muktamar PAS Ke-70



Konvensyen DHPP buka tirai Muktamar PAS Ke-70
September 8, 2024


JERANTUT: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 dibuka tirainya menerusi mesyuarat agung tahunan satu dari sayap parti ini apabila Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dilangsungkan di Hotel Darul Makmur, di sini pada hari ini.

Menariknya, Konvensyen DHPP Kali Ke-9 ini diadakan bersempena penubuhan sayap bagi ahli bukan-Islam parti Islam ini pada usianya telah mencapai 20 tahun sejak ditubuhkan pada 2004 sebagai Kelab Penyokong PAS.

Seramai 300 perwakilan daripada seluruh negara melibatkan ahli-ahli PAS dalam kalangan kaum bukan-Islam yakni India, Cina dan Siam hadir ke konvensyen ini.

Turut hadir Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Sidang as-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfuz Mohamad, serta wakil pemerhati PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Awang Hashim.

Juga Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Zuridan Daud serta Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut, Ustaz Yuhanis Ahmad.

Turut bersama adalah Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Malaysia, Dr Chong Fat Full dan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Chandra Balabedha, Ketua GERAKAN Pahang, Datuk Yap Kim Heng.



Pengarah Konvensyen DHPP, Balendran Balasubramaniam menyifatkan DHPP sebagai satu pasukan yang tidak berputus asa dengan cabaran perjuangan sebaliknua sentiasa bersemangat bersama PAS.

“Setiap individu yang mewakili DHPP ini merasakan DHPP tidak dapat melalui semua cabaran tersebut tanpa PAS,” ujarnya pada majlis akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan turut bersama Penasihat DHPP, Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, PAS sudah memberi satu penghargaan yang besar kepada ahlinya dalam kalangan yang bukan-Islam dan juga ini selaras dengan slogan ‘PAS for all’ dan menjadikan mereka sebahagian di bawah payung besar PAS.

“Ini menunjukkan komitmen PAS melayan kita secara saksama dan tidak meminggirkan bukan Islam walaupun dalam parti apatah lagi bila kita ambil pentadbiran Putrajaya pasca PRU16 akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

Ulasan