Lubnan: PASRelief hulur bantuan kecemasan RM41,200



Lubnan: PASRelief hulur bantuan kecemasan RM41,200
September 30, 2024


KUALA LUMPUR: PASRelief akan memberikan bantuan kecemasan awal sebanyak RM41,200 (AS$10,000) dan mengadakan kempen tabung kecemasan bagi membantu rakyat Lubnan yang memerlukan bantuan termasuk perubatan, makanan, air dan keperluan hidup.

Pengerusinya, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, PASRelief mengajak semua pihak yang prihatin untuk menyumbang seikhlas hati bagi meringankan beban rakyat Lubnan yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

“PASRelief dengan kerjasama rakan NGO tempatan yang merupakan rakan strategik PASRelief akan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, PASRelief menzahirkan rasa sedih dan prihatin dengan keadaan rakyat Lubnan yang sedang berada dalam kecemasan akibat perang yang berlaku sejak beberapa hari yang lalu.

Sehubungan itu, PASRelief mengecam tindakan ketidakperikemanusiaan Israel yang melancarkan serangan ke atas Lubnan dan membunuh serta mencederakan ratusan orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua.

“Selepas serangan udara yang kejam berterusan, kini Israel sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan melalui darat.

“Dua briged simpanan Israel telah dipanggil ke sempadan Utara Lubnan pada awal Rabu 25 September, di tengah-tengah serangan yang berterusan menandakan persediaan mereka untuk operasi darat,” jelasnya.

Sementara dalam laporan terkini, rejim Zionis telah membunuh 33 nyawa dan mencederakan 97 yang lain dalam tempoh 24 jam yang lalu di Lubnan, dan lebih 700 terkorban sejak serangan 23 September lepas, dengan dan 2,600 lagi cedera.

Mohd Yusni berkata, pengeboman meluas merangkumi banyak wilayah Lubnan telah mengakibatkan ratusan korban, ribuan cedera dan kerosakan besar pada bangunan dan harta benda.

Tambah beliau, wilayah Lubnan itu telah menyaksikan perpindahan besar-besaran orang awam sehingga mencecah angka jutaan dari kawasan Selatan ke Beirut, Utara Lubnan dan Iqlim al-Kharroub bagi mencari perlindungan.

Beliau berkata, kebanyakan kemudahan awam, termasuk sekolah dan pusat awam telah dipenuhi dengan rakyat Lubnan yang kehilangan tempat tinggal.

“Sehubungan itu, PASRelief berdoa agar Allah SWT melindungi rakyat Lubnan dan memberi mereka kemenangan menentang musuh-musuh mereka.

“Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran dan ketabahan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan ahli keluarganya akibat perang yang tercetus.

“Kami juga berdoa agar Allah SWT menyembuhkan mereka yang cedera dan memberi mereka kesihatan yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Islamic (PASRelief) 5640-7061-2333 dengan rujukan KECEMASAN, serta boleh dihubungi melalui Hotline PASRelief http://www.wasap.my/60175001144/ – HARAKAHDAILY 30/9/2024

Ulasan