Memori Muktamar PAS: Pesta ukhuwah, podium berapi!


Memori Muktamar PAS: Pesta ukhuwah, podium berapi!
September 16, 2024

APA ada dengan Muktamar PAS Pusat? Ianya adalah pesta pora tahunan untuk mempamer aktiviti yang obses dengan kerja dakwah, tarbiah serta siasah atau medan mengoreksi organisasi, membedah kepiawaian pemimpin, mendengar hala tuju gerakan untuk tahun mendatang, juga dengan matlamat sisipan yang lain. Jawaban mengapa muktamar tahunan PAS begini signifikan kepada para amilin terutama pimpinan PAS di semua peringkat organisasi PAS hanya dapat dilunaskan oleh sesiapa yang bergulat dalam dunia gerakan Islam.

Muktamar Tahunan PAS Pusat diadakan bergilir keseluruh negara kecuali beberapa buah negeri belum lagi terpilih menjadi tuan rumah iaitu Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Semenjak tahun 1953, Muktamar Tahunan PAS dikenali sebagai Kongres di mana di zaman awalnya ialah medan berhimpun, memugar ukhuwwah semahal tempayan emas. PAS adalah parti derita (meminjam istilah PMX); teringat penulis dalam satu pertemuan di Kota London dengan mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, almarhum Ustaz Jais Anwar turut menceritakan kisah Muktamar di Perlis di mana pimpinan Pemuda memanjat bumbung madrasah untuk memasang siar raya Muktamar! Kongres pertama telah diadakan di Madrasah Al Fairah Al Maarif Al Wataniah, Seberang Perai pada 3 dan 4 Januari 1953.

Gerakan Islam ini terus membesar, merendang, meranum dan didokongi oleh pelbagai jalur masyarakat serta menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan negara. Muktamar Tahunan PAS Pusat pula menjadi medan pertemuan ahli dan pemimpin untuk merencahi perjalanan bahtera jamaah serta wadah paling tepat untuk introspeksi kegiatan parti sepanjang satu sesi.

Saya bernostalgia tentang kehangatan Muktamar dalam pertengahan dekad 90-an, wakil Dewan Pemuda sangat dinantikan.

Sepuluh orang di barisan DPPP adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik. Pada malam sebelum Muktamar PAS maka delegasi DPPP akan bermesyuarat khas untuk menggarap isi-isi ucapan yang akan dilontarkan. Wajarlah lontaran akal wakil Pemuda sangat signifikan, termasuk Usul Dewan Pemuda PAS pada tahun 1982 telah mengubah corak perjuangan PAS atau lebih memantapkan DNA PAS, iaitu gagasan kepimpinan Ulama.

Perwakilan di bawah pentas bukan kaleng-kaleng orator, mereka mampu menjadikan podium bergegar dan memanaskan adrenalin khalayak. Nama-nama seperti Aris Awang, Ustaz Fauzi Husein dari Kedah, arwah Ustaz Toliban (Ustaz Azli) Perak, arwah Haji Mazlan Ibrahim dari Kelantan, Cikgu Kadarisman Kadiran dari Sabah adalah nama-nama ” besar” bila sesi perbahasan. Rupa-rupanya, dekad 60-an lagi menguja akal apabila sesi perbahasan dalam edisi podium berapi. Menurut Almarhum Ustaz Jais Anwar, semasa Muktamar DPP Pusat di Perlis, ada perwakilan berbahas sehingga menanggalkan baju!

Pemimpin yang tidak piawai tidak akan mampu duduk selesa di kerusi pimpinan, zaman tanpa gajet yang serba indah. Panas hanya saat berhujjah, selepas itu kembali dingin dengan secangkir kopi hangat! Markah untuk dipilih menjadi pemimpin PAS pula antara indikatornya ialah kaki demonstrasi, wejangan berapi seperti Gunung Merapi Jodjakarta, gila ‘copong’ dengan citra rajin bertamrin dan berkuliah haraki selain pakej kompetensi yang lain.

Muktamar Tahunan PAS Pusat saban tahun adalah medan ukhuwwah yang sangat membahagiakan, teman-teman yang datang dari seluruh belahan negara sejauh Borneo, bersampin lengkap seperti ingin diakad nikah kali kedua, senyum mekar mengambarkan Muktamar ialah hari besar dalam kalendar aktivis siasah cum dakwah negara ini. Jajaran erai Muktamar juga siap berjualan sampin dan aksesori Muktamar yang lain termasuk buku- buku haraki untuk dihadami oleh para amilin. Tauke buku akan senyum girang usai muktamar, begitu juga tauke warung makanan dan peralatan indah.

Penulis memerhatikan secara dekat perjalanan muktamar PAS Pusat semenjak di bangku sekolah iaitu pada tahun 1986 di Masjid Rusila Terengganu. Masjid Rusila antara tarikan pesona terbesar aktivis Islam dalam dekad 80-an. Pasar mingguannya bervariasi produk tempayan dengan nasi dagang dan nasi minyak dengan harga bawah seringgit dan teh O dengan harga 20 sen segelas. Kami sekelompok remaja yang mengambil peperiksaan SRP di sebuah sekolah premier di Kuala Terengganu. Anak remaja penggemar ‘jeans bundle’ yang beragam obsesi, antara Akira Takasaki, mendiang Cliff Burton dan Tok Guru Haji Hadi!

Peserta muktamar yang datang berbondong-bondong ke Rusila dengan memakai kain pelekat serta berbaju Melayu. Sesekali laungan takbir yang bersemangat menyulam ucapan pembahas dan pimpinan. Antara usul yang diterima perwakilan ialah usul memboikot akhbar Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang paling provokatif dan konsisten menyelewengkan ucapan pimpinan PAS dekad itu. Pada sebelah malamnya pula kampung nelayan bersejarah itu dipadati puluhan ribu rakyat yang hadir untuk mendengar ceramah pimpinan utama dan juga tetamu jemputan muktamar yang diundang dari luar negara.

PAS waktu itu belum mempunyai akhbar sendiri, berita tentang PAS begitu hodoh di kaca mata media perdana negara ini. Antara medium utama maklumat ialah ceramah dan juga kaset-kaset yang dijual dengan harga yang murah. Kerana jurang maklumat inilah maka muktamar adalah medan maklumat paling penting kepada ahli-ahli PAS. Ceramah pimpinan PAS umpama hiburan kepada masyarakat agrarian saat itu, selain Tok Guru Haji Hadi, Ustaz Awang Tukul Besi, Mat Sabu, Almarhum Ustaz Bunyamin Yaakob adalah penceramah fenomenal pada penghujung dekad 80-an.

Dasawarsa 90-an pula, Muktamar Tahunan PAS Pusat semakin menggebu acaranya. Markas Tarbiah Taman Melewar pada awal dekad 90-an begitu meriah terutama dengan perbarisan unit amal, sebuah entiti dalam Dewan Pemuda PAS. Jika Muktamar berlangsung di Taman Melewar maka aktivis PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor akan menjadi tuan rumah. Kami berbulan-bulan mempersiapkan lokasi serta pelbagai persiapan lain untuk menerima tetamu. Masjid surau sekitar Taman Melewar akan meriah menjadi tempat penginapan perwakilan dan pemerhati. Begitu juga rumah pimpinan PAS sekitar Markas Tarbiah PAS Pusat juga turut menampung urusan rehat pimpinan negeri sebelum wujudnya hotel Anjung Rahmat di Jalan Gombak.

Muktamar Tahunan PAS Pusat dalam milinea baru terus semakin berseri serta ceria apabila PAS menang di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor. Kemudahan bermuktamar di stadium, juga hotel yang serba lengkap, dewan seminar beserta dengan penginapan, parkir yang selesa serta sistem audio yang mengikuti piawaian antarabangsa. Citra kepemimpinan semakin mengerlip bak bintang kejora, entiti PAS semakin membesar seperti dengan wujudnynya ARC, JAM, Ameerah juga jaringan sivil yang dipayungi oleh PAS.

Lensa kamera dibidik di segenap penjuru, Muktamar Tahunan PAS melangkah ke depan dengan seribu tarikan pesona, malah turut disensasikan oleh media arus perdana dan juga fenomena media baru. Muktamar Tahunan PAS Kali 70 adalah wisel sepak mula untuk menghadapi PRU 16, negara ini wajib diselamatkan daripada regim kakistokrasi. Titik!!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 16/9/2024

Ulasan