MoU peruntukan: Pemimpin ada penyakit seronok menindas rakyat
September 21, 2024
KLUANG: Pemimpin-pemimpin yang tidak menuruti kehendak Islam untuk berlaku adil hakikatnya dilanda penyakit rasa seronok untuk menindas rakyat yang berada di bawah pemerintahan mereka.
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, perkara itu berpunca daripada pemimpin-pemimpin yang menolak keadilan Islam dan berpegang kepada fahaman liberal, plural dan sekular.
“Mereka tak boleh terima keadilan Islam. Mereka menentang Islam dan menolak Islam. Kenapa? Kerana keadilan Islam menggugat agenda mereka.
“Agenda mereka yang bertolak daripada hawa nafsu mereka untuk menindas manusia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jasin dan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Beliau berkata demikian dalam ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, di sini malam tadi.
Tambah beliau, perkara itu dapat dilihat dengan jelas dalam isu memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan untuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Di antara agenda yang bawa oleh golongan yang menentang Islam ini yang menindas rakyat ialah di dalam MoU yang ditawarkan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Di mana dalam MoU itu dengan jelas ia tidak mengambil kira kedudukan orang-orang Melayu Islam itu yang mempunyai kedudukan yang istimewa. Kedudukan Islam yang mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam Perlembagaan Negara,” katanya.
Jelasnya, sebaik Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL melihat salinan kandungan MoU itu semua mereka sepakat tanpa teragak-agak menolak MoU itu kerana ia dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan tidak selari dengan kehendak Islam.
“Oleh sebab itu kita tolak perkara itu. Ini dia sikap PERIKATAN NASIONAL agar sentiasa berlaku adil kepada negara dan rakyat ini setelah diberi kepercayaan oleh rakyat dan memastikan tidak membelakangi kepentingan negara dan rakyat.
“Walaupun tak dapat umpan peruntukan, mereka (Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL) sekali-kali tidak akan menggadaikan kepentingan rakyat dan negara ini untuk mendapatkan peruntukan dengan cara yang sangat menjijikan dan tidak beradab itu dan melanggari nilai-nilai kemanusiaan perlembagaan dan agama,” katanya.
Kata Tuan Guru Zulkifli lagi, tindakan kerajaan itu seolah-olah melayan Ahli Parlimen umpama pengemis di samping tidak menunjukkan rasa hormat kepada sistem demokrasi yang didukung bersama.
“Tidak ada suatu sikap yang ‘gentleman’ sebagaimana yang ditunjuk oleh kepimpinan PERIKATAN NASIONAL apabila mereka memerintah negara.
“Mereka (pemimpin PERIKATAN NASIONAL) bersikap adil kepada semua pemimpin-pemimpin sama ada kerajaan begitulah juga pembangkang,” katanya.
Tegas beliau, MoU itu jelas adalah bersifat menindas pembangkang iaitu Ahli-ahli Parlimen yang dilantik oleh rakyat yang dilakukan oleh orang-orang yang kononnya berfikiran sebagai orang-orang yang memperjuangkan masyarakat Madani dan kerajaan yang adil.
“Tetapi mengapa berlaku penindasan ini berterusan? Kenapa? Jawapannya adalah jelas kerana penindasan dan kezaliman itu adalah merupakan agenda kepada mereka yang mendukung fahaman-fahaman yang bercanggah dengan Islam itu,” katanya.
Kata beliau lagi, Islam berpegang kepada prinsip bahawa Islam dibangkitkan adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kezaliman aliran dan fahaman kepada keadilan yang dibawa oleh Islam.
“Maknanya kalau kita nak adil kita mesti mengikuti Islam kerana yang lain daripada Islam itu dengan makna berlawanan dengan Islam itu, maka ia adalah merupakan suatu peraturan yang mengandungi penindasan dan penganiayaan kepada manusia
“Jadi oleh kerana tak mahu kepada keadilan Islam. Keadilan Islam itu menggugat mereka dan mereka tidak dapat bermaharajalela melakukan penindasan dan kezaliman, (maka) golongan liberal, golongan pluralis, golongan LGBT; golongan sekular ini menjadi penentang habis-habisan kepada Islam,” katanya.
Program ceramah tersebut menampilkan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penceramah utama di samping beberapa orang penceramah lagi iaitu Ahli Jawatakuasa Penerangan PERIKATAN NASIONAL Malaysia, Badrul Hisham Shaharin (Che’gubard), Ketua Penerangan parti Bersatu Malaysia, Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ sementara BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka.
28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 21/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan