Nabi SAW pilih berjuang dari kejar harta kebendaan



Nabi SAW pilih berjuang dari kejar harta kebendaan
September 6, 2024

KLUANG: Rasulullah SAW memilih untuk berhadapan dengan pasukan tentera Musyrikin yang penuh lengkap dan besar berbanding untuk menyekat rombongan dagangan Musyrikin Makkah yang pulang dari Syam.


Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, pilihan tersebut dibuat kerana kemenangan dari peperangan itu akan meningkatkan imej Islam dan membuktikan kebenaran ajaran Islam.

“Sebab itu apabila Allah SWT menurunkan ayat, “Dan ingatlah ketika Allah SWT menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan menjadi sasaran untuk kamu menghadapinya”.

“Allah menjanjikan bahawa pasukan Islam akan berdepan dengan salah satu daripada dua pasukan, sama ada daripada pasukan perang yang dipimpin oleh Abu Sufian ketika itu sebelum Islamnya, ataupun pasukan kafilah dagang yang pulang dari Syam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap sebagai penceramah utama di dalam program Ceramah Maulidurrasul anjuran Sidang Assabiqun PAS Negeri Johor dengan kerjasama PAS Kawasan Kluang.

Menurut beliau, dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW menunjukkan qudwahnya apabila berhadapan dengan pilihan perperangan seperti itu.

Katanya lagi, Allah SWT menyebut, “Sedang kamu suka kiranya angkatan perniagaan, bukan angkatan perang yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu menghadapinya”.

Malah tambah beliau, Rasulullah SAW berdoa dengan begitu hebat sekali sehingga menimbulkan kehairanan dalam kalangan Sahabat RA memandangkan Allah SWT telahpun menjamin kemenangan untuk mereka.

“Dihuraikan oleh para ulama tafsir seperti Al-Imam Al-Sha’rawi bahawa apabila diberi pilihan di antara pilihan kafilah perdagangan dan di antara pilihan pasukan perang lengkap bersenjata.

“Ulama menerangkan bahawa Nabi SAW memilih bertempur dengan pasukan perang, kerana Baginda yakin dengan janji kemenangan,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, pilihan Nabi SAW itu sebenarnya berbeza dengan keadaan sebahagian Sahabat RA yang lebih memilih untuk berdepan dengan kafilah pedagang Musyrikin Makkah yang dirasakan sebagai satu misi lebih mudah.

“Maka biarlah pertempuran itu akan menjadi bukti kebenaran Islam dibantu oleh Allah SWT yang lengkap dengan pertempuran terhadap pasukan peperangan yang datang daripada arah Makkah. Ini contoh Nabi SAW,” kata Ahli Parlimen Jasin dan Pesuruhjaya PAS Melaka itu.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah umat Islam terutama pejuang Islam yang gagal mencontohi akhlak Baginda dalam berdepan dengan para penentang Islam walaupun sering bercakap mengenai Rasulullah SAW.

“Kita mengeluh pilihan raya. Kejap pilihan raya di Sungai Bakap. Lepas tu pilihan raya di Nenggiri, jauh bukan main. Ini mari pula pilihan raya DUN Mahkota. Lemahnya kita di dalam mengikuti kependekaran Nabi Muhammad bin Abdullah SAW,” kata beliau.

Tambahnya, kegagalan untuk mencontohi sikap Rasulullah SAW dalam berdepan musuh itu akan menyebabkan para penentang Islam itu berjaya untuk meneruskan agenda bagi menguasai umat Islam dan menghalang Islam dilaksanakan sesuai dengan perintah Allah SWT.

Selain itu katanya, apa yang dicontohkan oleh Baginda SAW itu harus diambil kesemuanya dan bukan diambil separuh-separuh atau dipilih-pilih mana yang sesuai dengan selera mereka sahaja dengan bersikap ‘loyar buruk’.

Tambahnya lagi, semua umat Islam terutama para pejuang Islam harus mengambil contoh yang dilakukan Rasulullah SAW berdepan dengan tentera Ahzab sesuai dengan kata Saidatina Aisyah RA bahawa akhlak Baginda itu adalah Al-Quran.

“Kalau umat Islam hari ini mencontohi Nabi daripada Perlis sampai ke Sarawak, Sabah dalam konteks menjaga dan melindungi Islam maka sudah tentu umat Islam berada dalam keadaan yang bebas untuk berkata dan melaksanakan segala perintah Allah SAW,” ujarnya.

Turut berucap di dalam program yang berlangsung di Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ), Taman Ilham, di sini, malam tadi itu ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Mohamad.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Negeri Johor, Ustaz Atan Gombang. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

Ulasan