Negeri SG4 sebagai jelapang makanan negara





Negeri SG4 sebagai jelapang makanan negara
September 3, 2024

KUALA LUMPUR: “Simbol empat negeri bukan kahwin empat.”

Demikian ulasan ringkas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim susulan mesyuarat Kluster Pertanian SG4 yang dihadiri oleh semua Exco Pertanian Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu, semalam.

Menerusi foto yang dimuat naik di laman sosialnya, mereka yang menyertai mesyuarat itu menunjukkan isyarat empat jari yang merujuk kepada SG4 iaitu empat kerajaan negeri yang diterajui Perikatan Nasional. (Foto atas)


Mesyuarat itu diadakan sempena Sidang Kemuncak SG4 yang diadakan di Bandar Baru Bangi, semalam.

Dr Azman selaku Ketua Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4 turut memaklumkan beberapa tindakan segera sebagai ‘quick win program’ yang diputuskan bersama dalam merealisasikan hasrat menjadikan negeri-negeri SG4 sebagai jelapang makanan negara.

Beliau berkata, antaranya melestarikan penggunaan tanah dengan pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Pembangunan Tanah Terbiar serta mengekalkan kawasan sawah padi.

Selain itu, tambahnya mewujudkan Dana Bantuan Modal Tani dan memperkayakan sumber perikanan di samping program persijilan kualiti dan pemasaran.

“Insya-Allah akan diadakan Karnival Pertanian SG4,” jelasnya yang juga ADUN Jabi.

Katanya, kilang baja dan kilang makanan ternakan juga akan diwujudkan serta menubuhkan Koperasi Agro SG4.

Menurutnya, selain itu bantuan input dan mekanisasi diagihkan kepada golongan sasar petani, penternak dan nelayan. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

Ulasan