Pemilihan Bersatu tiada kronisme, bias, pilih kasih – Hamzah


Pemilihan Bersatu tiada kronisme, bias, pilih kasih – Hamzah
HAMZAH ZAINUDIN
Oleh FADHLI SULAIMAN
30 September 2024, 6:30 am

PETALING JAYA: Mereka yang berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memahami parti itu mempunyai struktur selain harus mempunyai pengalaman ‘cukup masak’ bersama pucuk pimpinan parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu juga memiliki perlembagaan yang menetapkan beberapa klausa untuk kelayakan seseorang boleh atau tidak bertanding dalam beberapa peringkat jawatan.

Namun, katanya, disebabkan tidak ambil maklum peraturan-peraturan persidangan yang sedia ada, maka berlaku orang yang sepatutnya layak bertanding majlis pimpinan tertinggi (MPT) namun tidak mahu pula bersaing jawatan itu.

“Ada yang layak bertanding MPT tetapi tidak layak tanding jawatan yang lebih tinggi daripadanya. Jadi, untuk memberi keadilan kepada semua, kita membincangkan secara terperinci kelonggaran yang hendak diberikan dalam peruntukan Perkara 14.14 perlembagaan Bersatu.

“Ia (peraturan pemilihan) mestilah konsisten kepada semua. Jadi, tidak orang ini lain, orang itu lain. Yang A lain dan B pula lain, ia sama.

“Kalau sama (layanannya), tidak berlakulah kronisme, bias dan pilih kasih. Kita konsisten, tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui semalam.

Hamzah berkata, pihaknya terpaksa menjelaskan perkara itu kerana sudah ada banyak rungutan kononnya MPT parti hanya membuat sesuatu keputusan mengikut selera untuk kepentingan beberapa individu.

“Itu tak betul. Sedangkan yang kita buat adalah konsisten untuk semua. Kita tidak memihak siapa-siapa, kita konsisten. Kita jelaskan ini supaya tak timbul polemik dalam parti sendiri,” katanya.

Perkara 14.14 perlembagaan Bersatu memberi kuasa kepada MPT untuk memberi kelonggaran yang adil serta konsisten kepada semua yang mahu bertanding dalam pemilihan 2 November nanti.

Bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden, MPT membuat kelonggaran iaitu calon yang hendak menawarkan diri perlu pernah memegang jawatan MPT selama sepenggal lengkap, berbanding syarat asal, dua penggal lengkap.

Demikian juga dengan pertandingan untuk mengisi jawatan MPT yang mana syarat tempoh keahlian dikurangkan daripada tiga tahun kepada hanya dua tahun.

Pada 21 September lalu, media melaporkan yang Hamzah sah bertanding jawatan Timbalan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti.

Hamzah menyandang jawatan Setiausaha Agung bagi penggal 2020-2023, akan bertanding untuk jawatan yang kini dipegang oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Difahamkan, Ahmad Faizal akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden Bersatu, memberi laluan kepada Hamzah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, susulan keputusan yang dibuat oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, MPT berkuasa dalam Perkara 14.14 dengan tidak menghiraukan fasal 13.7 dan 13.8 iaitu memberi kelonggaran berkenaan.

“Jadi, tiadalah kroni. Kalau orang itu baru masuk, dia patut tahu (peraturan-peraturan persidangan), syarat itu sudah ada,” katanya. – UTUSAN

Ulasan