Peruntukan wakil rakyat: Aminolhuda lupa diri?
September 22, 2024
JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen PAN Sri Gading, Aminolhuda Hassan disifatkan sebagai seorang yang lupa diri setelah menjadi wakil rakyat kerajaan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ia susulan kenyataannya baru-baru ini terhadap calon PRK DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan).
Dalam kenyataan itu Aminolhuda mempersoalkan bagaimana Coach Haizan akan memberikan khidmat pada rakyat sekiranya menang dalam PRK itu dan menjadi wakil rakyat tanpa peruntukan dari kerajaan.
“Ibarat peribahasa kita, ‘lupa diri’. Mungkin itulah yang paling sesuai untuk saya katakan pada kekanda saya YB Aminolhuda Hassan.
“Yang pada satu masa dahulu pernah menjadi wakil rakyat berstatus pembangkang pada tahun 2013-2018 ketika menjadi ADUN mewakili PAS-Pakatan Rakyat,” katanya.
Menurut Khairul Faizi, pada masa itu Aminolhuda tidak menerima apa jua sumbangan kerajaan selain peruntukan gaji atau elaun sebagai ADUN, namun tetap mampu berkhidmat kepada rakyat.
“Pada masa itu, terasa juga zalimnya pihak pemerintah, namun tanggungjawab diteruskan dengan dukungan dari PAS dan para pendukungnya.
“Tapi bila sudah berada bersama pemerintah kerajaan, isu PN menolak MoU dijadikan hujah bagaimana Coach Mohd Haizan Jaafar hendak berkhidmat dengan baik jika menang nanti,” katanya.
Khairul Faizi turut mempersoalkan kenyataan tersebut kerana Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut adalah berkaitan dengan Ahli Parlimen yang tiada kaitan dengan DUN.
“Kami akan buktikan Coach Haizan mampu membela nasib penduduk di Mahkota apabila menang nanti, insya Allah. Kami akan mendukung beliau.
“eperti mana kami pernah mendokong Aminolhuda semasa beliau menjadi ADUN PAS satu ketika dahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau semalam. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan