PN ambil langkah perbaiki prestasi
September 29, 2024
Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang telah mengundi calon, Mohamad Haizan Jaafar.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jentera PN yang telah gigih membantu calon PN.
“Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit anda dalam PRK ini amat saya hargai. PN menghormati pilihan pengundi DUN Mahkota selaras dengan semangat demokrasi.
“Saya percaya kekalahan calon PN dalam PRK ini tidak akan mematahkan semangat kita untuk terus berjuang.
“Kita mesti menerima isyarat pengundi DUN Mahkota dengan berlapang dada dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki prestasi parti.
“Insya-Allah, PN dan Bersatu khususnya akan bangkit semula dengan semangat yang lebih jitu untuk mencipta kemenangan di pentas demokrasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam PRK Mahkota semalam, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang meraih 27,995 undi manakala Mohamad Haizan atau Coach Haizan mendapat 7,347 undi. – HARAKAHDAILY 29/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan