Polis rampas 58,000 liter minyak sawit mentah di Johor
Oleh Mary Victoria Dass - September 2, 2024 @ 10:40pm
Lori tangki dan stor haram penyimpanan minyak sawit mentah di sebuah kawasan Permas Jaya, Johor Bahru di serbu hari ini. - Foto ihsan polis
JOHOR BAHRU: Polis merampas 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dalam serbuan ke atas sebuah stor haram di kawasan Permas Jaya di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata operasi menerusi Op Taring Palma itu bermula 12.30 tengah malam hingga 10.18 pagi pagi tadi.
Menurutnya, serbuan dianggotai sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman bersama tiga pegawai penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor.
"Pasukan polis bersama pegawai penguatkuasa MPOB menemui sebuah stor yang disyaki dijadikan sebagai tempat penyimpanan minyak sawit mentah secara tidak sah.
Disyorkan Untuk Anda
"Hasil dari serbuan itu, polis merampas tiga treler tidak bernombor yang mengandungi minyak sawit mentah jenis crude palm oil (minyak sawit mentah) dengan anggaran kapasiti sebanyak 58,000 litter.
"Barangan rampasan lain termasuk dua unit mesin pam, menara boiler, jentera angkat susun, alat penimbang dan sebuah lori. Semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM465,111 manakala anggaran nilai minyak sawit mentah RM220,500," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Raub berkata pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan dalam serbuan itu selepas tiada penghuni atau penjaga dikesan berada di tempat kejadian.
Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada MPOB Johor Bahru untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit
Malaysia 1998 (akta 582) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
"Kes juga disiasat di bawah peraturan 5 perenggan 5(1)(b)
iaitu mengalih minyak sawit tanpa lesen dan kesalahan di bawah
peraturan 5(1)(d) iaitu menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang
memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000
atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahu atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," katanya.
Raub meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Dearah Johor Bahru Selatan di 07-2182323.
Ulasan
Catat Ulasan