PRK Mahkota: PAS Johor ucap terima kasih kepada jentera PN
September 29, 2024
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi pertolongan dan bantuan dalam kerja-kerja pada Pilihan Raya Kecil (PRK) PRK DUN Mahkota.
“Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi pertolongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan, barangan mahu pun tenaga dan buah fikiran bagi menjayakan kerja-kerja membantu dalam PRK DUN Mahkota.
“Semoga segala pertolongan dan sumbangan itu diganjari oleh Allah SWT sebagai suatu usaha jihad kita dalam membantu PN diterima oleh masyarakat dan pengundi,” ujarnya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Katanya, menang dan kalah adalah adat pertandingan.
“Sekalung tahniah kepada Barisan Nasional yang telah diberi kepercayaan oleh pengundi DUN Mahkota,” ujarnya lagi.
Tambahnya, bagi pihak PAS dan PN akan membuat semakan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada dan sesekali tidak melemahkan gerak kerja dan usaha untuk membela nasib rakyat keseluruhannya.
“Segala sumbangan bakti tuan-tuan dan puan-puan itu , kami dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.
“JazaakumulLaahu khairan kathira. Semoga kita bertemu lagi pada lain kesempatan, insya-Allah,” katanya.
Pada PRK DUN Mahkota yang berlangsung semalam, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh 27,995 undi sementara calon PN, Mohamad Haizan Jaafar pula 7,347 undi. – HARAKAHDAILY 29/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan