Siasat menyeluruh GISBH jika terkait salah guna kuasa
JAIS ABDUL KARIM
Oleh HAFIZ SAIDINA
30 September 2024, 8:21 am
PETALING JAYA: Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) perlu disiasat secara menyeluruh jika terdapat unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa syarikat tersebut susulan tidak membayar cukai serta zakat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, GISBH dan anak syarikatnya yang tidak pernah membayar cukai dan zakat menunjukkan terdapat kemungkinan kelemahan dalam penguatkuasaan.
Katanya, ia memerlukan audit mendalam bagi mengenal pasti punca kegagalan dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan tanggungjawab agama.
“Kemungkinan wujud isu rasuah atau ketidakcekapan pengurusan yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap agensi-agensi berkaitan untuk menentukan sama ada wujud sebarang unsur penyalahgunaan kuasa atau pengabaian tanggungjawab yang mungkin menyebabkan GISBH tidak dikenakan tindakan selama ini.
“Pihak berwajib mesti bertindak segera untuk memastikan keadilan dan memelihara integriti sistem percukaian serta zakat negara. Jika terbukti terdapat unsur penyelewengan, perlu diambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu dilaporkan, GISBH didapati tidak pernah membayar cukai hasil semakan dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu selari dengan siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
GISBH juga dilaporkan bukan sahaja tidak membayar cukai malah syarikat itu juga tidak pernah membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak penubuhannya.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd. Fikri Naim Harun dengan dianggarkan 20 anak syarikat di bawah GISBH langsung tidak pernah membayar zakat walaupun pernah diminta berbuat demikian oleh pihaknya.
Menurut Jais, isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam sistem penyelarasan dan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seharusnya memainkan peranan lebih proaktif dengan memastikan laporan kewangan dikemukakan setiap syarikat berdaftar,” katanya.
“Kegagalan GISBH menghantar laporan kewangan jelas menunjukkan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan tindakan hanya mengeluarkan kompaun pada masa ini adalah terlalu lewat untuk memastikan pematuhan dan keadilan,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan