‘Slogan inilah Nabi bawa berdepan pakatan Ahzab’




‘Slogan inilah Nabi bawa berdepan pakatan Ahzab’
September 6, 2024

KLUANG: Allah SWT memperteguhkan pendirian Rasulullah SAW dan para Sahabat RA saat berdepan ‘pakatan’ tentera Ahzab yang mengerah kekuatan anggota dan persenjataan mereka untuk memerangi orang beriman.

Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, kisah pakatan musuh mengerah ketumbukan besar memerangi kaum Muslimin itu dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Ahzab.

“Peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah SAW ialah perjuangan untuk mempertahankan hak menyampaikan Islam dan menerangkan Islam kepada seluruh manusia dan peperangan bagi mempertahankan daulah dan Kerajaan Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu mengupas kisah itu sewaktu berucap di dalam program Ceramah Maulidurrasul anjuran Sidang Assabiqun PAS Negeri Johor dengan kerjasama PAS Kawasan Kluang, semalam.

Beliau memetik huraian oleh Al-Imam Sha’rawi RH di dalam kitab Tafsir Sha’rawi yang mengupas qudwah ditunjukkan Baginda SAW dalam mendepani permusuhan pakatan tentera Ahzab tersebut.

“Kata Al-Imam Sha’rawi RH, ‘Inilah dia ‘slogan’ yang dibawa oleh Nabi SAW, maka apa yang dibawa oleh Nabi SAW daripada syiar itu adalah contoh untuk kamu wahai orang-orang Islam dalam berdepan dengan Ahzab yang menentang Islam di mana sekalipun’.

“Di mana ‘slogan’ itu ialah doa Nabi SAW yang berbunyi, “Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang pembalasan-Nya begitu cepat sekali, Engkau binasakanlah ya Allah golongan Ahzab itu. Ya Allah Engkau kalahkan mereka dan Engkau goncang kekuatan mereka itu”,” ungkapnya.

Jelas Tuan Guru Zulkifli, berdasarkan kupasan Imam Sya’rawi itu dapat difahami bahawa doa Rasulullah SAW itu adalah merupakan syiar, slogan atau ‘banner’ yang dibawa Baginda dalam berdepan dengan pakatan tentera Ahzab.

Tuan Guru Zulkifli turut menempelak sikap sesetengah orang Islam yang bertindak tunduk kepada ‘Ahzab’, malah ada antara umat Islam yang membantu pula mereka untuk menghancurkan Islam.

“Di Palestin ada orang Palestin sendiri yang berbaik dengan Yahudi-Israel. Di Yaman di zaman komunis, ada mufti daripada kalangan orang komunis.

“Begitu juga di negara kita, ada yang bergabung dengan gerakan komunis memerangi umat Islam. Ketika kita berada di ambang kemerdekaan dan kemudiannya selepas kemerdekaan,” katanya.

Kata beliau lagi, memang terdapat ramai orang Islam yang gagal mengambil contoh dan petunjuk daripada Nabi SAW bagaimana akhlak perlu diamalkan umat Islam dalam berdepan dengan pakatan Ahzab.

“Oleh itu Nabi SAW membawa syiar keimanan, syiar akidah. Sebagaimana yang disebut dalam tafsir, syiar Nabi yang berbunyi, “Tidak ada tuhan melainkan Allah, semata-mata tuhan yang tunggal”.

“Benar janji-Nya dan Dia pasti akan menolong hamba-Nya. Dan Dia pasti akan memuliakan tentera-tentera-Nya. Dan kemudiannya Dia akan menghapus dan menghancurkan tentera-tentera Ahzab itu bersendirian-Nya semata-mata,” ujar beliau.

Kata Tuan Guru Zulkifli lagi, Allah SWT yang Maha Kuasa tidak memerlukan kepada sesiapa untuk menghancurkan musuh-musuh-Nya di mana Allah SWT merupakan Zat yang bersifat dengan segala sifat keperkasaan.

“Kita berjuang mengikuti akhlak dan contoh Nabi SAW adalah merupakan suatu terjemahan, ketaatan, tanggungjawab, kewajipan dan pengabdian kita kepada Allah SAW.

“Maka kita membantu perjuangan Islam ini supaya Islam itu terus tegak dan berdaulat di negara dan di bumi tanah air kita. Ada pun Allah SWT Maha Berkuasa untuk menghancurkan penentang-penentang Islam itu tanpa memerlukan pertolongan kita,” ujarnya.

Turut berucap di dalam program yang berlangsung di Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ), Taman Ilham, di sini itu ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Mohamad.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Negeri Johor, Ustaz Atan Gombang. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

Ulasan