Tapak sokongan PN tak berubah walau tewas


Tapak sokongan PN tak berubah walau tewas
September 28, 2024

Azmin dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PERIKATAN NASIONAL di Kluang. Johor pada malam ini, 28 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)

KLUANG: Tapak sokongan yang diperolehi oleh PERIKATAN NASIONAL dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mahkota tidak berubah walau pun tewas pada pilihan raya kecil (PRK) ini.

Pengarah Utama PRK DUN Mahkota bagi PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah berdasarkan jumlah undi tak rasmi yang diperolehi parti gabungan itu.

“Pada hari ini peratusan keluar mengundi ini terus menurun kepada 54 peratus, namun tapak sokongan untuk PERIKATAN NASIONAL tetap berada pada sekitar 7,332 menurut angka yang tidak rasmi sebentar tadi.

“Ini membuktikan bahawa sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL tidak menurun malahan pada tahap yang menyakinkan,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama (BGU) PERIKATAN NASIONAL, di sini, sebentar tadi.

Beliau dalam kenyataannya menerima keputusan yang telah dibuat oleh pengundi-pengundi DUN Mahkota pada PRK itu.

“Semenjak dari awal lagi kita telah menyatakan bahawa Mahkota Kluang merupakan kawasan PH dan juga Barisan Nasional.

“Namun kita telah berusaha sedaya upaya kita untuk menyantuni seramai mungkin pengundi-pengundi dalam DUN Mahkota,” tambah Azmin.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL berkata, calon parti gabungan itu,Coach Haizan (Mohamad Haizan Jaafar) diterima baik oleh majoriti penduduk-penduduk dalam DUN Mahkota itu.

“Berbanding dengan pihak Umno mereka telah menggunakan segenap jentera kerajaan di peringkat negeri mahupun di peringkat Persekutuan untuk meraih sokongan dalam pilihan raya kecil pada hari ini.

“Kita juga ingin menyatakan bahawa peratusan keluar mengundi pada hari ini adalah antara yang terendah iaitu hanya 54 peratus,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, peratusan keluar mengundi yang rendah itu menuntut semua pihak untuk melihat secara serius dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan peratusan dan penyertaan rakyat Malaysia dalam pilihan raya ini dapat ditingkatkan pada tahap yang dapat mewakili rakyat di kawasan yang berkenaan.

Dalam keputusan tak rasmi sebelum ini, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menang dengan meraih 27,941 undi, manakala Coach Haizan meraih 7,332 undi.

Sementara itu, keputusan PRK Mahkota yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, malam ini menyatakan bahawa secara keseluruhan, Syed Hussien memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Coach Haizan, 7,347.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 53.84 peratus sementara undi ditolak berjumlah 339 undi.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH (Pakatan Harapan), PN dan Warisan.

Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung pada Selasa, melibatkan 4,437 pengundi. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

Ulasan