Teks ucapan MB Kelantan sempena Persidangan Kemuncak SG4



Teks ucapan MB Kelantan sempena Persidangan Kemuncak SG4
September 2, 2024

ALLAH SWT berfirman:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41)

Alhamdulillah, syukur setinggi-tingginya kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita diberi ruang masa yang amat berharga ini untuk sama-sama berkumpul dalam Sidang Kemuncak State Goverment 4 (SG4) yang penuh bermakna ini.

Saya mewakili Kerajaan Negeri Kelantan ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sidang kemuncak ini.

Sidang Kemuncak SG4 ini merupakan platform yang amat penting bagi negeri-negeri yang terlibat, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam usaha membangunkan negeri masing-masing.

Tentu sekali segala input yang terhasil melalui amanat dan perbincangan yang diadakan pada kali ini akan menjadi sesuatu yang cukup bermakna. Insya[1]Allah ia mampu membawa kejayaan yang lebih besar dan mampan sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan negeri-negeri SG4 di persada nasional.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Tercetusnya istilah Membangun Bersama Islam apabila Allah SWT mengurniakan TAMKIN iaitu suatu kekuasaan untuk mentadbir negeri Kelantan setelah mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum tahun 1990. Hampir 34 tahun, Kelantan melalui pelbagai ujian dan mehnah sepanjang mengemudi amanah rakyat yang memilih Islam sebagai dasar pentadbiran.

Alhamdulillah, semuanya itu Allah SWT permudahkan untuk kami dalam menguruskan negeri dengan kemampuan yang sedia ada.

Berkat meletakkan Islam di hadapan, kami mampu bertahan sehingga ke hari ini dan apa yang paling penting adalah sikap integriti para pimpinan kita adalah suatu yang boleh dibanggakan kerana tidak pernah ada yang disabitkan jenayah rasuah bermula dari Menteri Besar sehingga kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Alhamdulillah Was Syukru Lillah.

Lantaran itu, pencapaian ini merupakan kebanggaan kepada perjuangan Islam yang diberi kuasa mentadbir lalu mampu mempersembah tadbir urus yang cemerlang ditambah pula mempelopori pelbagai perubahan dan transformasi dalam dasar, polisi dan inisiatif dalam berkerajaan sehingga menjadi ikutan dan rujukan oleh pelbagai pihak.

Kelantan terus melangkah ke hadapan menuju Kelantan Sejahtera 2033 dengan menggariskan 3 gagasan:

Pertama: Pengukuhan kepimpinan ulama
Kedua: Pemerkasaan ekonomi
Ketiga: Memperkukuh budaya kerjasama dan kebersamaan

Melalui gagasan pengukuhan kepimpinan ulama, Kelantan tidak menoleh ke belakang lagi.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”. [Riwayat Abu Daud (3641)]

Negeri Kelantan komited memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang berilmu, berdaya saing, dan berakhlak mulia. Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan telah digagaskan dan sekarang ini sedang dilaksanakan di semua institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri yang bercita-cita untuk membangunkan masyarakat melalui sistem pendidikan yang holistik ke arah kemenjadian insan mulia yang faqih, realistik dan bertanggungjawab.

Antara kejayaan Kelantan dalam aspek pendidikan Islam adalah seramai 5,122 orang hafiz al-Quran telah dilahirkan sejak tahun 1992 sehingga 2023 melalui institusi pendidikan kami yang dikendalikan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK). Alhamdulillah sekarang Kelantan mempunyai 12 buah sekolah tahfiz di bawah YIK yang mempunyai variasi aliran antaranya qiraat, sains dan kemahiran disamping sekolah-sekolah lain juga di bawah YIK dengan jumlah keseluruhan sebanyak 93 buah sekolah.

Selain itu, Kelantan juga kaya dengan institusi pondok, berjumlah 59 buah pondok yang tentunya menghasilkan ramai ulama dan ilmuan Islam, yang terus menyumbang kepada perkembangan intelektual di negeri ini.

Setelah Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dilaksanakan, Kerajaan Kelantan terus melangkah ke hadapan menyelami kehidupan rakyat dengan memperkenalkan satu inisiatif iaitu Budaya Komuniti Rabbani Kelantan bagi membentuk rakyat yang hidup berpandukan wahyu dan seiring dengan halatuju kerajaan ke arah Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Untuk makluman para hadirin sekalian. Kelantan satu-satunya negeri yang meletakkan mereka yang tidak sembahyang dan dan tidak mengamalkan Islam sebagai ad-Din sebagai suatu gejala sosial yang ditangani secara bersepadu melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Kelantan disamping gejala-gejala sosial yang biasa ditangani oleh semua Negeri seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan lain-lain lagi.

Hal ini menggambarkan pentingnya sebuah kuasa untuk memastikan Islam terus dipelihara dan dijulang sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I’tiqad Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.”

Bagi memastikan kelestarian Kelantan sebagai hub modal insan, aspek pemerkasaan ekonomi menjadi fokus penting Kerajaan Negeri. Alhamdulillah bumi Kelantan dianugerahkan nikmat kekayaan hasil bumi, sumber mineral dan tanah yang subur. Bukan sekadar minyak ada di bumi Kelantan, sebaliknya kaya dengan sumber galian seperti emas, bijih besi, feldspar, batu marmar, granite dan barit dalam bumi Kelantan. Hari ini pula, unsur nadir bumi atau REE pula menjadi anugerah yang bernilai dan kita semua perlu teliti dan amatinya secara mendalam demi kesejahteraan rakyat.

Dari segi ekonomi, Kelantan mencatat pertumbuhan yang stabil dengan fokus kepada sektor-sektor strategik seperti pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya. Pembangunan pusat-pusat keusahawanan di Kelantan menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang, khususnya dalam sektor halal, makanan, dan kraf tangan. 15.

Infrastruktur asas yang kian berkembang seperti kawasan perindustrian, jalan raya, dan kemudahan logistik turut menyokong aktiviti perniagaan dan pelaburan. Kelantan sentiasa terbuka kepada semua pihak untuk melabur dan juga membuka ruang untuk kerjasama dengan negeri SG4 dalam menarik pelaburan bersepadu.

Dengan semangat SG4 yang wujud ini, bersamalah kita bina jaringan ekonomi antara satu sama lain ke arah memperkasakan hasil negeri melalui sumber yang dianugerahkan ini. Apa sahaja nikmat ada pada bumi Kelantan, kami usahakan dan manfaatkan demi pembangunan dan kebajikan rakyat. Hadirin dihormati sekalian,

Apabila berbicara mengenai pengurusan dan pembangunan negeri, budaya kerjasama dan kebersamaan perlu diperkukuhkan. Kelantan melalui amalan budaya politik matang dan sejahtera komited untuk memastikan konsep federalisme diamalkan dengan profesional antara negeri dan persekutuan. Tambahan lagi, kewujudan SG4 yang mempunyai sinergi kefahaman dan kebersamaan yang tinggi ini menambahkan kekuatan antara negeri-negeri dalam mengorak kesepaduan kerjasama yang membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Hikmah dalam tadbir urus berkerajaan amat penting agar sebarang langkah yang diambil membuahkan sesuatu yang bernilai dan berharga buat rakyat. Suka saya petik mutiara kata Mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tan Sri Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dengan katanya, ‘ilmu secupak, hikmah kena segantang’ yang sesuai diaplikasikan dalam banyak konteks termasuk konteks amalan tadbir urus berkerajaan.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar keempat-empat Negeri di bawah SG4 dapat bersama-sama mengamalkan 3 gagasan yang saya sebutkan pada awal ucapan tadi iaitu Pengukuhan Kepimpinan Ulama, Pemerkasaan Ekonomi dan Memperkukuh Budaya Kerjasama dan Kebersamaan agar kita benar-benar dapat merealisasikan sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” [Riwayat Muslim]

Akhir kata, saya berharap agar kolaboratif dan kerjasama antara negeri-negeri SG4 dapat terus dipereratkan dan juga terus komited untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara melalui kerjasama strategik dengan rakan-rakan negeri SG4 ini.

Semoga usaha kita ini diberkati dan memberikan manfaat yang besar kepada negeri dan negara. Segala usaha yang dilakukan adalah demi memastikan rakyat negeri rakyat negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dapat menikmati kehidupan yang sejahtera, selesa, dan harmoni.

Kita hendaklah terus berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan negeri-negeri kita sebagai negeri-negeri yang makmur dan berdaya tahan.

Terima kasih. Siruu ‘ala barakatillah. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan