Teresa jangan sombong! – Pemuda PAS Perlis
September 9, 2024
KANGAR: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun menggesa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sum Sih agar lebih peka terhadap sensitiviti umat Islam berhubung kenyataannya mengenai sijil halal yang dianggap mengganggu perasaan masyarakat Islam.
Beliau menyeru Teresa Kok untuk tidak bersikap sombong dan lebih memahami isu-isu yang melibatkan umat Islam.
“Kenyataan Teresa Kok mungkin dianggap biasa bagi beliau, tetapi bagi umat Islam, terutamanya kami di Dewan Pemuda PAS Perlis, ia telah menyinggung sensitiviti agama.
“Saya menyeru Teresa Kok untuk lebih memahami perasaan umat Islam dan tidak bersikap sombong,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, di sini hari ini.
Haziq menegaskan bahawa sijil Halal merupakan perkara penting dan sensitif bagi umat Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
Kerajaan, menurutnya, sedang giat mempromosikan industri halal yang kini dianggarkan bernilai RM10 trilion di seluruh dunia, justeru kenyataan Teresa adalah bercanggah dengan usaha tersebut dan perlu dipertimbangkan semula.
Setakat ini tengah hari tadi difahamkan lima laporan polis telah dibuat terhadap Naib Presiden DAP itu, dengan dakwaan kenyataannya berpotensi melanggar undang-undang di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Teresa Kok dalam pada itu mempertikaikan laporan dibuat ke atasnya dan melahirkan rasa hairan mengapa kenyataannya mengenai sijil halal dianggap sebagai menyentuh isu agama, kaum, dan raja (3R).
Beliau mendakwa bahawa jika kenyataannya jika dibaca dalam konteks penuh, ia tidak merujuk kepada isu-isu 3R seperti yang dikatakan.
Teresa juga mempertikaikan asas laporan polis yang dibuat terhadapnya dan bahawa kenyataannya tidak melanggar mana-mana undang-undang yang dinyatakan. – HARAKAHDAILY 9/9/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan