UCAPTAMA
KONVENSYEN DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS PUSAT
TAHUN 2024
TAJUK : DUA DEKAD DHPP : TERUS MARA KEHADAPAN
PENDAHULUAN
Yang Dihormati Pengerusi Majlis,
Yang Dikasihi Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Timbalan Presiden PAS merangkap Perasmi Konvensyen DHPP Pusat,
Ustaz Haji Idris bin Ahmad, Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat DHPP
Yang Dikasihi Yang Berhormat Datuk Ustaz Haji Idris bin Ahmad, Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat DHPP
Yang Dihormati para wakil Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Yang Dikasihi Timbalan dan Naib-Naib Ketua DHPP Pusat
Yang Dikasihi Ketua Pemuda dan Wanita DHPP Pusat
Yang Dikasihi Jawatankuasa Kerja DHPP Pusat
Yang Dikasihi Ketua DHPP Negeri-Negeri
Yang Dihormati Para Perwakilan DHPP daripada seluruh Negara
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Satu tekad bersatu padu,
Tegakkan keadilan mara kehadapan.
Pohon cemara rendang membayang,
Menambah ceria kedamaian desa;
Terus memimpin dengan cemerlang,
Demi perjuangan untuk semua.
1. Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua para perwakilan yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air. Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekelian menambahkan kemeriahan konvensyen kita, menyuntik semangat dan merapatkan saff perjuangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di semua peringkat. Dalam masa yang sama, saya turut ingin mengucapkan Selamat Datang ke Kampung Halaman saya di Jerantut. Walaupun pada asalnya kita dijadualkan untuk berkonvensyen di Kerdau namun takdir menentukan segalanya. Berdasarkan cerita orang tua-tua, asal usul perkataan "Jerantut" daripada perkataan "Jeram" dan "Tut" yang diambil daripada nama orang "Awang Tut" yang sering mengail di kawasan "jeram" di tengah-tengah Sungai Pahang. Sebelum timbulnya perkataan "Jerantut" pekan ini dipanggil "Simpang Empat" iaitu suatu tempat di mana Jalan Keretapi dari Gemas ke Kota Baharu bersilang dengan jalan raya dari Kuala Lipis ke Kuantan. Mulai tahun 1914, nama "Simpang 4" ditukar kepada "Jerantut".
Para perwakilan dan pemerhati sekelian,
2. Hari ini, kita berkonvensyen untuk kali Kesembilan di Hotel Darul Makmur, Jerantut, Pahang. Konvensyen ini adalah merupakan satu ruang yang diwujudkan untuk kita bermuhasabah, mengkoreksi organisasi, menilai perjalanan dan aktiviti DHPP sepanjang tempoh setahun yang lalu bagi kita memperkukuhkan perjuangan DHPP.
3. Sesungguhnya Konvensyen DHPP pada tahun ini adalah amat istimewa untuk kita semua kerana tahun ini kita merayakan usia DHPP yang sudah pun masuk ke tahun yang kedua puluh. Selama dua puluh tahun ini, kita telah melalui pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan yang sebenarnya mematangkan kita untuk terus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan organisasi politik yang lain.
4. Nama DHPP bukan sahaja dikenali oleh masyarakat bukan Melayu sahaja tetapi nama DHPP tidak lagi asing di kalangan masyarakat Melayu. Dua dekad bukanlah satu tempoh yang pendek. Bukan semua organisasi mampu untuk terus kekal bertapak dengan menghadapi cabaran dan ujian yang mendatang. Ada parti politik yang wujud ketika menjelangnya Pilihan Raya namun berkubur selepas tewas dalam pertandingan tersebut.
5. Kita beruntung kerana kita bernaung di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti yang wujud bukannya kerana ideologi manusia tetapi berlandaskan kepada Agama Islam yang mengajurkan untuk berlaku adil kepada semua pihak.
6. Di dalam Al-Quran, ada di sebut dalam surah Al-Maidah ayat ke 8 ;
“Janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”
7. DHPP juga beruntung bila berada di bawah PAS kerana PAS mengingatkan DHPP supaya sentiasa bekerja sama dalam berbuat baik dan jangan lakukan yang sebaliknya. Bertepatan dengan firman-Nya,
“Wata'awanu alal birri wattaqwa, wala ta'awanu alal ismi wal udwan”
Yang bermaksud "Bertolong-tolonganlah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kejahatan"
Para pimpinan dan perwakilan yang saya kasihi,
8. Dewan Himpunan Pendukung PAS adalah merupakan salah sebuah sayap daripada kepimpinan PAS. Ia dianggotai oleh mereka yang bukan beragama Islam tetapi menyokong perjuangan PAS dan ingin turut sama berjuang bersama PAS.
9. Sebelum wujudnya DHPP, organisasi ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS, sebelum KPP dinaikkan taraf sebagai Dewan pada 23 Mei 2010. Namun begitu, keahlian bukan Islam dalam PAS sebenanya telah dibincangkan sejak 3 Oktober 1956 lagi dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Muhammad pernah mencadangkan pada 3 Disember 1961 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Namun begitu, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan.
10. Selepas itu, pelbagai usaha telah cuba diusahakan untuk merealisasikan perkara ini namun ianya berjaya dilaksanakan apabila Kelab Penyokong PAS diwujudkan yang membawa kepada kewujudan DHPP. Kelab Penyokong PAS (KPP) yang telah dilancarkan pada 11 Mac 2004 oleh almarhum Tuan Guru Tan Sri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala DHPP telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2010 oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Dewan Pejabat Tanah Klang, Klang Selangor sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong yang bukan Islam.
Para pimpinan dan perwakilan yang saya kasihi,
11. Saya dan DHPP Pusat memilih tajuk Ucaptama “Dua Dekad DHPP : Terus Mara Kehadapan” dengan hasrat untuk kita menggunakan ruang yang kita ada pada hari ini untuk melihat kehadapan dengan hasrat untuk meletakkan DHPP berada setaraf dengan Dewan-Dewan yang berada di dalam PAS. Satu masa dahulu, Dewan Ulamak sebagai contohnya, bermula dengan status “Urusan Ulamak” di peringkat PAS Kawasan tetapi sekarang ini Urusan Ulamak PAS Kawasan telah dinaiktaraf sebagai Dewan Ulamak PAS Kawasan.
12. Apa yang saya maksudkan setaraf ini adalah yang berkaitan dengan kedudukan DHPP sebagai sayap rasmi PAS. Sekiranya pindaan Perlembagaan PAS diluluskan maka kemungkinan ini adalah konvensyen kita yang terakhir sebelum DHPP menjadi sayap yang benar-benar berperanan sebagai sayap yang baharu seperti Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang tertera di dalam Perlembagaan PAS. Ini adalah tanda kesungguhan dan keseriusan PAS untuk meletakkan peranan kita bagi mendekati dan menarik sokongan masyarakat bukan Melayu/Islam kepada PAS. Amatlah malang sekiranya kita di dalam DHPP tidak menyambut hasrat dan harapan ini dengan bersungguh-sungguh.
Para pimpinan dan perwakilan yang saya kasihi,
13. Jika kita lihat secara umum, sokongan yang DAP telah bina terhadap khususnya sokongan pengundi orang bukan Melayu dari kaum Cina telah mula memperlihatkan kemerosotan. Sokong mega pengundi Cina kepada DAP dapat kita lihat pada PRU13 sekitar 80% pengundi kaum Cina telah memberikan kepercayaan besar kepada DAP dan meninggalkan parti MCA yang sebelum ini menjadi suara politik kaum Cina. PRU14 dan PRU15 masih menunjukkan pengundi Cina terus meletakkan harapan kepada DAP/PH.
14.Kewujudan Perpaduan di antara gabungan PH dan BN pada peringkat awal pun telah menimbulkan kesangsian, ditambah lagi dengan polisi Kerajaan Perpaduan yang tidak mesra rakyat tidak memberikan nilai positif kepada rakyat. Sebab itu, ketika menjelang PRK DUN Sungai Bakap, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah menyebut bahawa beliau sedar dakwaan bahawa tersebut yang mengatakan berlaku penurunan sokongan masyarakat Cina terhadap DAP telah dikesan sebelum hari mengundi yang mana tinjauan awal mendakwa DAP mungkin kehilangan 20 peratus pengundi Cina kepada Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang telah pun menjadi kenyataan.
15. Selepas 10 tahun memberikan harapan kepada DAP dan PH, nampaknya semuanya hanyalah harapan palsu belaka. Oleh kerana itu, kelompangan ini mestilah diisi oleh DHPP. Untuk mengisi kelompangan ini, maka DHPP perlu bersedia untuk berubah dari pelbagai sudut untuk mendekati masyarakat bukan Melayu/Islam di Malaysia.
16. Pertamanya, kita perlu kenalpasti isu yang dimainkan oleh musuh kita yang sering kali dimomokkan kepada masyarakat bukan Melayu. Bukan sahaja mengenalpasti tetapi mesti diberikan penerangan secara serius dan tersusun. Dunia ketika ini sangat bergantung kepada media sosial (medsos) untuk menyampaikan mesej perjuangan. Kita perlu perlu perkasakan semua perkara yang berkaitan dengan penerangan, perkasakan jentera penerangan, pelbagaikan media penerangan seperti mewujudkan medium podcast, ceramah atas talian atau online, mewujudkan Tiktok DHPP, meramaikan influenser dan pelbagai lagi kaedah penerangan yang benar-benar dekat dengan hati rakyat. Semuanya perlu kita lakukan dengan bersungguh-sungguh dan berhati-hati ; bak kata pepatah - Bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak.
17. Keduanya, saya menggesa supaya kita membuat kaji selidik untuk mengenalpasti apakah masyarakat di luar sana mengenali DHPP atau pun tidak. Kita perlu dapatkan pandangan mereka, cadangan mereka dan jangan bimbang jika mereka mengkritik kita kerana kritikan yang kita terima sebenarnya satu peluang untuk kita memperbaiki diri dan organisasi.
Para pimpinan dan perwakilan yang saya kasihi,
18. Seperti mana yang telah saya sebutkan tadi, berkemungkinan ini adalah konvensyen terakhir DHPP kerana DHPP sedang di dalam proses untuk dijadikan sayap PAS yang berstatus Dewan, berbeza dengan sekarang yang berstatus Lajnah. Justeru saya menggesa supaya struktur pentadbiran DHPP diperkemaskan termasuklah status keahlian DHPP yang perlu dikemaskini. Kita perlu lebih bersedia dari segenap aspek supaya kita tidak menyukarkan pentadbiran di peringkat pengurusan PAS.
Penutup
Para pimpinan dan perwakilan,
19. Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong dan mendokong saya selama saya memimpin DHPP Pusat. Diam tak diam, tahun ini saya telah memimpin DHPP Pusat selama 10 tahun, satu tempoh yang sebenarnya agak panjang bagi seseorang itu memimpin sesebuah organisasi. Apapun, bagi saya apa yang penting bukannya kepada Ketuanya sahaja tetapi perlu didokong oleh sebuah organisasi yang mantap dan teratur. Umpama sebatang lidi akan mudah dipatahkan, sedangkan segenggam lidi akan sulit dipatahkan.
20. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan di dalam surah As-Saff ayat ke-4;
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, “KA ANNA HUM BUN YA NUM MARSUS” seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
21. Saya juga ingin sekali lagi mengingatkan diri saya dan juga kepada semua para pimpinan dan para perwakilan bahawa kita adalah merupakan sayap PAS yang dikhususkan untuk mendekati masyarakat bukan Islam di Malaysia. Tiada ertinya PAS berusaha untuk menaikkan taraf dan kedudukan kita tetapi kita tidak mampu untuk membuktikan peranan kita seperti mana yang diharapkan oleh PAS. Ada peribahasa yang menyebut ; harapkan anak, buta mata sebelah; harapkan teman, buta keduanya yang membawa maksud dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas, jangan berharap pada orang lain tetapi perlu diletakkan kepada diri kita sendiri.
22. Saya menyeru agar kepimpinan dan ahli DHPP di semua peringkat supaya mestilah mendukung visi, misi dan dasar perjuangan PAS. Ini adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan. Untuk mendukungnya sudah tentu memerlukan kita untuk benar-benar memahami perjuangan PAS. Kita perlu memperkukuhkan kefahaman terhadap perjuangan PAS iaitu PAS adalah parti yang bergerak dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya.
23. Faktor yang penting untuk kita tanamkan dalam diri kita adalah KEIKHLASAN dalam perjuangan. Kita diasuh, kita diajar untuk bekerja dengar seikhlas mungkin, bukan menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau mengambil kesempatan untuk mencari kesenangan.
24. Oleh kerana itu, marilah kita semua bersatu hati, bersatu tenaga dan satukan idea, bergerak dalam satu pasukan yang kuat dengan matlamat yang sama supaya DHPP akan terus mantap dan bergerak sebagai sayap PAS yang disegani dan dihormati oleh semua pihak.
Patah atap kerana buluh,
Atap dijalin dengan tali.
Patah sayap bertongkat paruh,
Namun undur pantang sekali.
Sekian. Terima kasih. Selamat Berkonvensyen.
ENCIK BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat
8 September 2024
Ulasan
Catat Ulasan