Ukhuwah, penyatuan lebih baik daripada menghukum





Ukhuwah, penyatuan lebih baik daripada menghukum
Oleh Aznan Bakar
29 September 2024, 7:36 am

APABILA baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu, ia adalah sesuatu yang wajar menjadi contoh kepada semua pihak.

Ketika pemimpin berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana menghina institusi istana yang berkemungkinan boleh menjejaskan penglibatannya dalam politik pada masa depan, baginda Sultan Selangor tidak mengambil sikap berdendam.

Sudah tentu kenyataan yang mencabar wibawa seorang sultan dalam melantik pemimpin amat mengguris hati dan satu penghinaan, tetapi sebagai sultan yang memimpin sebuah negeri yang paling berjaya di negara ini, Sultan Sharafuddin memilih ukhuwah sebagai penyelesaian kepada isu berkenaan. Bukannya menghukum. Sedangkan perbuatan pemimpin berkenaan sebenarnya boleh dibawa ke mahkamah dan dikenakan hukuman yang berat.

Ini adalah sikap yang boleh dikatakan sudah tiada pada pemimpin Melayu ketika ini. Kalau lihat di pentas-pentas ceramah, semua kata-kata yang dihamburkan adalah bersifat dendam, tuduh-menuduh, hina-menghina, maki-memaki dan pelbagai lagi perkara yang jelek.

Seolah-olah pemimpin Melayu kita sudah hilang adab, tiada kesopanan dan penuh dengan dendam serta amarah. Hingga mereka terlupa apa yang dipertuturkan. Mangsa mereka pula tidak mengira siapa termasuk istana yang tiada kaitan dengan politik.

Pendekatan yang diambil oleh Sultan Sharafuddin adalah contoh terbaik hierarki tertinggi kepimpinan Melayu dalam menyelesaikan kemelut tanpa memecah-belahkan bangsa.

Diharapkan para pemimpin politik yang bermulut celupar yang hati mereka penuh dengan dendam boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini bahawa ukhuwah dan penyatuan bangsa lebih baik daripada menghukum.


Memang sudah jadi asam garam politik untuk saling tu­ding-menuding dan menjatuhkan pihak lawan. Tetapi jangan sampai ke tahap menghina dan mengaibkan pihak lain.

Apabila keputusan sudah dibuat oleh rakyat berilah peluang kepada pihak yang menang untuk mentadbir. Kejayaan atau kegagalan mereka akan dinilai dan seterusnya dihukum oleh rakyat.

Kalau lihat dalam proses demokrasi negara kita, semua pihak ada peluang untuk memerintah dan membuktikan keupayaan mereka memerintah. Sebab itu pentadbiran di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak ditadbir oleh parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan. Itu pilihan rakyat, dan pemimpin negeri terbabit kena buktikan bahawa pentadbiran mereka jauh lebih baik. Berbaloi rakyat pilih mereka.

Tidak ada gunanya memaki-hamun dan menghina orang lain apatah lagi pihak istana dengan harapan untuk menutup kelemahan kita. Adakah terdapat agama di muka bumi ini yang membenarkan maki-hamun, menghina dan menggelar orang lain dengan gelaran-gelaran yang jelek, lebih-lebih lagi Islam?

Sebagai rakyat, kita menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Sharafuddin kerana telah menunjukkan contoh teladan terbaik sebagai ketua negeri. Baginda membuat keputusan tanpa bersandarkan kepada sentimen atau rasa marah. Sebaliknya, lebih mengutamakan ukhuwah sesama Islam dan perpaduan orang Melayu.

Ini perlu dicontohi oleh semua pemimpin terutama yang Melayu Islam di negara ini.



Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan