YB redah banjir hantar sumbangan setiap hari



YB redah banjir hantar sumbangan setiap hari
September 25, 2024

PENDANG: “Hari-hari kami turun, masuk kampung, redah banjir, hantar sumbangan kepada mangsa banjir,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Jelasnya, Pendang merupakan daerah kedua teramai mangsa banjir selepas Daerah Kota Setar, namun perkembangan terkini, ramai yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah pulang ke rumah kerana di sesetengah tempat, banjir mulai surut.

Tetapi jelas Hayati, banjir kali ini lebih bersifat ‘banjir termenung’ di mana banyak lagi tempat yang keadaan air seolah-olah tidak bergerak dan bertakung agak lama.

“Setakat ini 1,000 pek barangan sumbangan berupa keperluan harian telah diedarkan kepada penduduk yang terjejas di 29 buah kampung,” tambah Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang itu lagi.

Dalam pada itu, semalam, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya bersama Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid, turun ke lapangan meredah banjir, menyampaikan sumbangan kepada mangsa di beberapa buah kampung.

Selain itu, misi sumbangan ini juga mengambil masa berikutan jarak antara satu kampung ke satu kampung yang terjejas agak jauh, sementara terdapat jalan masih belum boleh dilalui.

Sementara petugas juga perlu berhati-hati kerana jalan ke rumah penerima masih lagi ditenggelami air dan sukar membezakan antara jalan dan sawah padi yang berada di kiri dan kanan jalan.

Sumbangan bantuan itu juga turut disertai kontinjen dari Pusat Khidmat Rantau Panjang di bawah kelolaan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Daerah Pendang setakat ini merekod jumlah mangsa banjir seramai 1,565 orang daripada 478 keluarga yang masih di tempatkan di 10 PPS. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

share & sebarkan:

Ulasan