
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
20 Oktober 2024, 6:51 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUKADIMAH
MENJADI pemimpin tidak selamanya berada di puncak kuasa, yang naik pasti turun dan begitulah sebaliknya. Itulah yang dirasai DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN selepas menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pemilihan parti selepas penyandangnya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menarik diri. Beliau tumbang dalam pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, jurugambar, SHIDDIQIEN ZON dan juruvideo, FARIS IDERIS bertemu Mas Ermieyati di Parlimen bertanya aspirasinya mengemudi sayap parti.
MINGGUAN Malaysia: Yang Berhormat (YB) memegang banyak jawatan besar, selepas menjadi Ketua Srikandi tanggungjawab lebih mencabar?
MAS ERMIEYATI: Saya bersyukur dengan ruang dan peluang yang diberi. Semua ini tidak akan berlaku tanpa sifat, jiwa dan pengorbanan besar penyandang Datuk Seri Rina Mohd. Harun bagi memastikan kelangsungan Srikandi terus berjalan di arena politik negara.
Saya tidak nafikan setiap jawatan dipikul pasti datang dengan tanggungjawab, pemahaman dan keinsafan. Apa yang saya hulur dengan mencalonkan diri sebagai Ketua Srikandi kerana mahu menyumbang kepada parti melalui pengalaman, ilmu dan kepemimpinan saya supaya dapat bersama-sama membantu parti menang pilihan raya. Saya berharap dapat menggembleng tenaga bersama kepimpinan yang baharu.
Bagaimana YB membahagi masa antara kerja politik dan tugasan lain?
Setiap daripada kita mempunyai masa 24 jam dan ia bergantung kepada individu bagaimana mengagihkan masa dengan baik. Fahami tugas masing-masing dan laksanakan. Kita juga harus letak kepercayaan pada kakitangan, sentiasa beri panduan dan bincang pelaksanaan tugas dengan baik.
Ahli keluarga faham cara kerja YB? Ada kesimbangan antara kerja dan kehidupan sendiri?
Mengapa soalan ini perlu ditanya kepada pemimpin wanita? Adakah soalan sama juga ditanya kepada pemimpin lelaki?
Ada atau tidak?
Okay, syukur saya dianugerahkan suami yang faham cara saya bekerja. Sudah 22 tahun kami berkahwin, ada lima anak dan mereka memberi sokongan penuh.
Sekarang masa sesuai YB pegang jawatan Ketua Srikandi selepas Rina tarik diri dalam pemilihan?
Tidak timbul soal kesesuaian masa kerana saya yang perlu menyesuaikan diri dan terus berkhidmat demi kelangsungan parti. Untuk ahli politik berpengalaman seperti Rina, keputusan kali ini sudah dipertimbang atas faktor peribadi, kitaran pilihan raya, momentum politik dan masa. Walau apa pun, dalam politik segalanya berkenaan masa. Dinamik dan kitaran masa dalam politik menentukan tugas menerajui Srikandi kini jatuh ke bahu saya.
ELAK PERPECAHAN
Mengapa Rina tarik diri?
Kita sedia maklum dalam mana-mana pemilihan parti, pasti akan ada perpecahan. Sehari sebelum saya menghantar borang pencalonan, saya berjumpa beliau dan berbincang dan sejak awal lagi beliau kalau boleh tidak mahu ada perpecahan di dalam Srikandi.
Rina mahu Srikandi sentiasa kuat dan tidak ada perpecahan, maka, beliau rela hati tarik diri. Memandangkan saya pun mahu bertanding jawatan ini, beliau bersetuju tidak meneruskan bertanding.
Jika Rina tetap bertanding, akan ada dua ‘kem’?
Mungkin ada penyokong yang selesa dengan saya atau Rina, jadi, beliau tidak mahu tidak mahu ada perkara seumpama ini berlaku. Jika berlaku perpecahan, mungkin tiada pertandingan lebih baik dan saya boleh terus membantu apa yang boleh. Lagi pun, Bersatu baru berusia lapan tahun dan parti masih dalam proses menarik lebih ramai ahli baharu.
Apakah kerana Rina bukan lagi ahli Parlimen, beliau tidak wajar bertanding jawatan tertinggi parti?
Saya tidak fikir begitu. Ramai sahabat saya minta supaya saya bertanding jawatan ini dan apabila saya melihat cabaran di hadapan yang tidak dijangka dengan kami status sebagai pembangkang, menuntut kepada komitmen yang luar biasa.
Mesti menjadi wakil rakyat untuk pegang jawatan tertinggi parti?
Tidak semestinya. Paling penting apa tawaran boleh diberi melalui latar belakang, pengalaman, pendidikan dan bagaimana kita boleh sumbang semula kepada parti? Dengan kepelbagaian ini, secara tidak langsung membantu parti menunjukkan kehadiran dan memperkasa parti dengan kepimpinan yang pelbagai supaya Bersatu dilihat serba boleh.
YB dikatakan semakin ‘kuat’, maka, wajar dilantik sebagai Ketua Srikandi?
Kuat atau lemah, bagus atau tidak ini semua adalah pandangan individu dan kumpulan di dalam politik. Kita harus melihat dalam konteks berbeza. Walaupun saya menang tanpa bertanding, tetapi, ini tidak boleh diambil mudah kerana paling utama bagaimana kita mempersiap pasukan Srikandi supaya kelihatan lebih baik dan kehadiran Srikandi dirasai seluruh rakyat.
Adakah YB akan berada di tahap ini jika Rina tetap bertanding?
Ya, sudah tentu.
YB sudah jangka tiada siapa akan menyaingi YB untuk jawatan itu?
Dalam politik, jangan terlalu yakin meletakkan sesuatu sehingga kita mendapat kepastian. Sejak awal lagi saya menjangka berlaku pertandingan, tetapi, tidak sangka pula Rina memberi laluan kepada saya.
HALA TUJU
Apa hala tuju baharu sayap Srikandi diteraju YB?
Saya mahu mencungkil bakat kepimpinan baharu sebab, lapan tahun parti bertapak, tidak banyak parti boleh lakukan. Ada banyak lagi cabaran menanti di hadapan dan harapan saya adalah melahirkan lebih ramai pemimpin boleh berhujah bukan sahaja soal politik, malah ekonomi, sosial, kesihatan dan banyak lagi isu yang patut dijuarai golongan wanita.
Takkan isu sahaja?
Banyak lagilah saya mahu lakukan untuk Srikandi. Insya-Allah, selepas 26 Oktober ini yang mana sekarang keputusan pemilihan belum rasmi lagi, saya sudah boleh menyusun, merangka dan memilih pasukan yang saya fikir perlu diberi perhatian.
SRIKANDI BERSATU TIDAK MENYERLAH
Benarkah Srikandi Bersatu tidak menyerlah?
Saya sedar tanggapan ini dan tidak mahu berada dalam sindrom penafian. Mungkin sebelum ini tidak ramai daripada Srikandi lantang bersuara. Namun, saya anggap ini sebagai cabaran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang berkualiti. Tanggapan awam juga terhadap pemimpin wanita dari parti lain juga begitu.
Apa sumbangan ketika YB memegang jawatan Naib Ketua Srikandi Bersatu?
Saya mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi Bersatu yang membantu menyelaras jentera dan latihan mendepani pilihan raya, berada di dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu Malaysia, mengetuai Jawatankuasa Persempadanan Semula. Banyak lagilah jawatankuasa lain saya terlibat.
KUOTA 30 PERATUS
Srikandi Bersatu masih berharap kuota 30 peratus calon wanita bertanding dalam pilihan raya?
Ya, perkara ini sudah lama diperjuang sejak Srikandi ditubuhkan dan pastinya saya tetap meneruskan perjuangan ini bagi mendapatkan seramai mungkin Srikandi dan calon wanita bertanding dalam pilihan raya. Sekarang kurang daripada 10 peratus sahaja penglibatan calon wanita bertanding dalam pilihan raya dan ini tidak cukup, malah jauh daripada sasaran.
PILIHAN RAYA
Benarkah calon wanita selalu diletakkan di kerusi sukar menang pilihan raya?
Saya pernah dijemput hadir ke program merentas parti politik yang mana ada wakil wanita UMNO, PKR, Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan lain-lain. Mereka berpendapat sama wanita selalu diletakkan di kerusi sukar menang dalam pilihan raya. Tidak boleh begitu, jika mahu wanita bertanding pastikan kerusi itu boleh menang. Bukannya nampak risiko kalah sahaja dan beri kepada calon wanita.
Inilah yang harus kami perjuang dan berharap akan ada persefahaman di dalam Bersatu. Kami akan terus menjadi suara dan pendesak kepada pucuk pimpinan bukan sahaja mengenai isu rakyat, tetapi, membawa suara wanita menjadi calon wakil rakyat. Bukan sahaja sekadar mencukupkan kuota gender, tetapi kemampuan, kebolehan dan pengalaman kami.
Maksudnya YB mendesak Presiden Bersatu memberi kuota cukup kepada calon wanita bertanding dalam pilihan raya?
Baguslah kalau kepimpinan parti tahu. Sebelum ini, Rina pun sudah perjuangkan. Bersatu perlu meletakkan wanita di kerusi boleh menang, bukan kerusi pasti tewas.
CABARAN
Apa cabaran mengemudi sayap parti?
Sebenarnya, saya tiada masa panjang kerana ada tempoh tiga tahun sahaja untuk membuktikan kepemimpinan saya.
Pada pasca pemilihan parti nanti, cabarannya menyatukan parti semula dan bertemu dengan kepimpinan parti baharu dipilih. Saya harus memikirkan secara bersama langkah harus dilakukan demi masa hadapan Bersatu.
Selain itu, adalah menggerakkan peranan Srikandi supaya akar umbi faham aspirasi kami dan paling penting laungan saya disambut dan difahami oleh kepimpinan di peringkat negeri dan cawangan. Saya juga mahu akar umbi faham tugas besar Srikandi supaya bersama-sama dengan wanita Perikatan Nasional (PN) dan rakan gabungan lain untuk memberi yang terbaik.
Kerajaan Perpaduan ambil berat tentang isu wanita?
Ramai yang saya lihat dahulu berada di kerusi pembangkang nampak juara (champion) dalam memperjuang isu-isu wanita. Tetapi, apabila duduk di kerusi kerajaan sekarang, mereka agak selesa dan perjuangan mereka sudah tidak sama seperti dahulu lagi.
Contohnya?
Saya baru berjumpa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam isu kewarganegaraan dan mereka juga kecewa dengan kerajaan hari ini. Pastinya mereka tidak seperti yang mereka suarakan ketika menjadi pembangkang dahulu.
PAC
Di penghujung persidangan Parlimen kali untuk tahun ini, apa perkembangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)?
PAC akan membentang tujuh laporan prosiding. Empat daripadanya adalah laporan tindakan susulan, manakala tiga lagi laporan penuh. Kami juga ada lawatan kerja pengurusan air negara mungkin pada pertengahan November depan di Pulau Pinang. Kami juga akan menerima lawatan PAC Kedah ke PAC Parlimen Malaysia.
Sudah ada perubahan/reformasi di dalam jawatankuasa khas Parlimen khususnya PAC?
Banyak pembaharuan. Baru-baru ini sewaktu mengadakan lawatan di Sabah, kami membuka pintu kepada PAC Negeri untuk turut berada di dalam prosiding bukan sekadar mendengar, bahkan melibatkan diri, bertanya soalan soalan, mendapatkan jawapan dan makluman balas. Saya juga mencadang supaya PAC Negeri menjadi ejen pemantau sebab banyak peruntukan projek diberi kementerian di peringkat Persekutuan tetapi pelaksanaannya di peringkat negeri. Siapa yang akan memantaunya kan? Ini pasti akan memberi impak positif kepada pelaksanaan sesuatu projek.
Apa tuntutan PAC belum ditunaikan?
Sudah pasti prosiding terbuka untuk pendengaran awam. Itulah tuntutan kami sejak awal lagi. Tetapi, ada beberapa kekangan yang mungkin tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini. Mungkin masa hadapan, siapa tahu?
LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
Apa respons tentang Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023? Ada isu yang akan akan disiasat PAC?
Ada beberapa laporan yang menarik minat kami untuk menyiasatnya. Tetapi, saya tidak boleh bercakap lebih pada masa ini. Tunggulah saya keluarkan kenyataan rasmi. – MINGGUAN MALAYSIA
Ulasan
Catat Ulasan