Apa status siasatan SPRM terhadap bekas ADUN Selangor?


Apa status siasatan SPRM terhadap bekas ADUN Selangor?
October 28, 2024

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi (tengah) bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak (kiri) dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun (kanan) dalam sidang media di lobi Parlimen.

KUALA LUMPUR: Rakyat ingin tahu status kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang didakwa menyalahgunakan kuasa.

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, bekas ADUN itu telah menggunakan dana pusat khidmatnya pada ketika itu tujuan peribadi walaupun dari sumber bukan dana kerajaan.

“Saya bangkitkan perkara ini dalam perbahasan saya tadi bukan untuk mencampuri urusan parti DAP.

“Oleh kerana tertuduh kini merupakan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) atas lantikan Yang di-Pertuan Agong, lalu demi menegakkan integriti maka rakyat berhak tahu statusnya,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN) mohon agar kerajaan segera memaklumkan kepada rakyat akan status penyiasatan SPRM.

“Adakah dakwaan yang dibuat mempunyai asas dan pihak Peguam Negara akan mendakwa beliau atau dakwaan ini tidak berasas?

“Rakyat perlu tahu dan kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa DAP menggugurkan bekas ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah tetapi mencadangkan beliau dilantik sebagai Pengerusi LPK.

Hian Wah juga pada ketika itu merupakan Timbalan Ketua DAP Selangor menyandang kerusi DUN Seri Kembangan selama tiga penggal bermula 2008 dan pernah menjadi Exco Kerajaan Selangor.

Terbaru, beliau menafikan dakwaan salah guna kuasa menggunakan dana pusat khidmat ketika menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Sebaliknya, Hian Wah berkata dakwaan itu sengaja dibangkitkan semula oleh pihak tertentu bagi memburukkan imejnya menjelang pemilihan DAP di Selangor yang dijadualkan pada bulan depan. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

Ulasan