Api perang dari Gaza ke Beirut
October 4, 2024
Kawasan Beirut yang menjadi sasaran serangan tentera Israel.
SETELAH memasukI setahun Gaza dihanguskan dan api perang belum pun lagi terpadam, rejim Zionis telah menghalakan sasaran kemusnahan ke Beirut. Kubu utama Hizbullah di ibu kota Lubnan dibedil dengan lebih 20 serangan udara oleh Israel mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di kawasan berpenduduk padat.
Serangan udara pada Jumaat 27 September lalu, dikatakan yang paling dahsyat sejak perang Israel-Lubnan tahun 2006 dengan menyasarkan pemimpin utama Hizbullah, Sayyid Hassan Nasrallah. Pada awalnya, Tentera Israel dalam kenyataan mendakwa telah membunuh komander unit peluru berpandu Hizbullah, Muhammad Ali Ismail dan timbalannya Hossein Ahmed Ismail.
Tiada maklumat mengenai status Hassan Nasrallah selepas serangan itu sehinggalah Hizbullah mengeluarkan kenyataan bahawa mayatnya ditemui pada Sabtu 28 September dan serangan udara Jumaat lalu juga membunuh komander tertinggi kumpulan itu, Ali Karake.
Israel menyerang pinggir bandar selatan Beirut serta timur Lubnan sejak Isnin 24 September dengan melakukan pengeboman menggunakan jet pejuang. Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 1,500 orang terbunuh dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Strategi Israel menyasarkan pembunuhan pemimpin-pemimpin seperti Ismail Haniyeh, Fuad Shukr, Hasan Nasrallah, Mohammed Deif dan Yahya al-Sinwar, bertujuan melemahkan semangat penyokong dan pendukung pergerakan Hamas, Hizbullah dan gerakan penentangan lain seperti Jihad Islami.
Propaganda ini digunakan sepenuhnya bagi membina naratif bahawa kemenangan berpihak kepada mereka dengan terkorbannya para pemimpin musuh, terutama komander di lapangan. Namun, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang menentang Israel berjaya ditundukkan dan mengaku kalah.
Berikutan itu sekutu Israel, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan akan menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu susulan ketegangan di Asia Barat yang kian meningkat berikutan pembunuhan Hassan Nasrallah.
Ketegangan di rantau tersebut tentunya mengundang risiko keselamatan kepada penduduk Israel dan kepentingan AS yang berkaitan. Peningkatan ketegangan ini didahului oleh siri letupan alat kelui dan walkie-talkie yang menggegarkan Lubnan pada 17 hingga 18 September lalu mengakibatkan kira-kira 40 orang terbunuh dan hampir 3,500 orang cedera.
Dalam perkembangan berkaitan, sekutu AS, Arab Saudi menyatakan sokongan kepada Lubnan untuk mempertahankan rakyatnya dan kedaulatan negara itu dipelihara. – HARAKAHDAILY 4/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan