
Atasi strategi pemasaran vape 'jual' fantasi gaya hidup moden
Oleh Basmin Maarof - Oktober 8, 2024 @ 8:45am
MENJADI rahsia terbuka, kanak-kanak dan remaja secara agresif dijadikan sasaran untuk menjadi pengguna sepanjang hayat rokok elektronik atau vape. Kajian Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) pada 2023 mendedahkan, 30 peratus pengguna rokok elektronik di Malaysia berusia antara 12-15 tahun.
Trend menghisap rokok elektronik atau vape sedang giat 'dipupuk' di Malaysia amat membimbangkan kerana boleh menjejaskan potensi dan kesihatan mereka.
Walaupun bukti saintifik mengenai bahaya vape semakin bertambah, sebilangan pemegang taruh industri vape terus memperdayakan orang ramai dengan mendakwa vape alternatif selamat kepada rokok tembakau.
Atas faktor ini, industri menyasarkan generasi baharu terutama kanak-kanak dan remaja, melalui strategi pemasaran fantasi vape sebagai gaya hidup moden dan tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya vape menyebabkan ketagihan dan pelbagai masalah kesihatan serius.
Disyorkan
Penggunaannya boleh mengakibatkan kebinasaan terhadap kesihatan seperti kerosakan paru-paru (EVALI), pneumotoraks, penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan gangguan pertumbuhan otak terutama kanak-kanak dan remaja.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mendedahkan tiada bukti jelas bagaimana vape mampu membantu berhenti merokok, sebaliknya ketagihan nikotin daripada vape didapati boleh meningkatkan risiko pengguna beralih kepada rokok tembakau.
Penggunaan vape turut berpotensi dijadikan alat memancing pengambilan dadah. Justeru, lebih tepat mengatakan ia adalah permulaan bahaya bagi orang muda tidak pernah merokok dan pengganti berbahaya kepada perokok cuba berhenti merokok.
Walaupun kesan jangka panjang penggunaan vape masih dalam kajian, bukti sedia ada sudah cukup menunjukkan ia boleh mengakibatkan penyakit kronik.
Cecair vape ada bahan berbahaya
Banyak kajian sains mendapati cecair vape mengandungi bahan berbahaya termasuk nikotin, propilena glikol, gliserin dan bahan kimia toksik lain seperti formaldehid dan logam berat boleh mendatangkan kesan mudarat terhadap kesihatan penggunanya.
Demi kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu sentiasa peka dan proaktif dalam menangani pelbagai strategi digunakan mana-mana pihak berkaitan terutama industri dan pelobi rokok serta vape boleh menjejaskan keberkesanan dasar kawalan tembakau.
Dasar kawalan tembakau berasaskan bukti saintifik terbukti amat berkesan melindungi kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa. Oleh itu, penting bagi kerajaan terus memantau dan mengambil langkah proaktif terhadap sebarang usaha boleh menjejaskan keberkesanan dasar bebas rokok kepada rakyat.
Penguatkuasaan berkesan adalah kunci menghentikan penularan gejala vape dalam kalangan generasi muda dan memastikan masa depan negara tidak terancam akibat kemudaratan produk berbahaya ini.
Ini kerana industri tembakau dan vape mengaut keuntungan daripada produk memudaratkan kesihatan, merosakkan masyarakat dan negara serta merosakkan alam sekitar.
Justeru, langkah kerajaan mengharamkan vape kepada kanak-kanak dan remaja dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperlihatkan keprihatinan dan komitmen serius kerajaan bagi membendung kemerosotan tahap kesihatan awam dan melindungi kesejahteraan generasi akan datang.
Kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat dapat memperkukuhkan usaha ini melalui pemantauan berterusan, melaporkan pelanggaran undang-undang, memberi hukuman berat, mengadakan program kesedaran dan pembangunan sistem sokongan untuk individu ingin berhenti merokok.
Penulis adalah Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat, Pertubuhan IKRAM Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan