Bukti sejarah BN menang besar PRK, tapi kalah PRU
October 6, 2024
KLUANG: Sejarah membuktikan bahawa kemenangan besar yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRK bukan jaminan untuk kekal menang pada pilihan raya umum (PRU).
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia sudah terbukti bahawa di dalam beberapa situasi BN kalah teruk dalam PRU selepas menang besar dalam PRK.
“Tak usah gundah-gulana dengan soal keputusan pilihan raya kecil. Kita iktiraf keputusan, tetapi kita juga mengajak tengok sejarah. PRK Kuala Kangsar berlaku sebelum PRU, BN menang besar.
“PRK Sungai Besar, sebelum PRU, BN menang besar. PRU selepas PRK Kuala Kangsar, BN kalah teruk. Sungai Besar, BN menang besar pada PRK, (tetapi) dalam PRU, BN kalah teruk,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, ia juga berlaku pada PRK DUN Semerak, Pengkalan Pasir, Pengkalan Kubor di Kelantan.
“PRK DUN Mahkota, BN menang bergaya, mudah-mudahan pada PRU (nanti) BN kalah teruk. Ada formulanya, ini formula yang terbukti, saya boleh bagi tahu banyak lagi.
“PRN seluruh Negeri Melaka, BN menang dua pertiga (majoriti), datang PRU Parlimen Melaka, BN satu kerusi pun tak dapat. Siapa yang menyangka Perlis pada PRU14, BN menang dengan dua pertiga majoriti. Perlis pada PRU15, ‘kaput’, tiada kerusi,” ujarnya.
Kerana itulah, menurut beliau ia selaras dengan lirik di dalam lagu PAS yang menyebut ‘kalah menang bukan alasannya’, yang penting ialah keyakinan para pengikut PAS terhadap dasar perjuangan dibawa.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Pejabat Baharu PAS Kawasan Kluang dan Meraikan Jentera pada PRK Mahkota yang berlangsung di Taman Makmur, di sini, malam tadi.
Jelas beliau, kemenangan BN adalah disebabkan permainan politik BN yang menggunakan strategi kononnya mereka membenci DAP.
“BN akan menang apabila dia main politik dengan cara tunjuk kebencian pada DAP. Di Negeri DAP pada PRK Sungai Bakap, dia tak tunjuk kebencian kepada DAP, dia kalah. Di Kelantan BN tunjuk kebencian pada DAP, tak benarkan DAP datang berkempen.
“Naib Ketua Bahagian DAP Gua Musang, bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang. Walaupun dia orang Gua Musang, dia berjawatan dalam DAP, dia tidak dibenarkan kempen walaupun DAP itu dalam Kerajaan Madani,” katanya.
Menurut beliau, BN sedar bahawa dengan menunjukkan kebencian pada DAP mereka dapat memperolehi tambahan undi pada pilihan raya yang disertai.
“Datang ke Johor pun tunjuk juga kebencian pada DAP, maknanya mereka tidak ‘UmDAP’. Jadi itu satu daripada pentafsiran yang saya lihat dalam kewayangan politik Barisan Nasional sekarang. Selama mana wayang ini relevan dan boleh pakai, kita akan lihat ke depan,” katanya.
Antara tetamu khas yang turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin serta Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Muhammad.
Selain itu, bekas calon Perikatan Nasional bagi PRK DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61 (Coach Haizan) dan Setiausaha Bahagian BERSATU, Azman Amir Hamzan dan wakil GERAKAN Kluang.
Pejabat tersebut diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran PAS Kawasan Kluang selaras dengan peningkatan dalam urusan harian kawasan tersebut.
Ia menempatkan Pejabat Pentadbiran Utama PAS Kawasan termasuk Dewan-dewan selain bilik mesyuarat yang boleh memuatkan lebih 25 orang dalam satu-satu masa.
Sementara itu Markaz PAS Kawasan Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ) akan dijadikan Markaz Utama Tarbiyah dan program-program mingguan serta bulanan.
Majlis itu diadakan serentak dengan majlis jamuan meraikan petugas-petugas jentera Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota. – HARAKAHDAILY 6/10/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan