'Buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat'
Oleh Adha Ghazali - Oktober 27, 2024 @ 9:30am
MoU antara Kerajaan Perpaduan dengan Ahli Parlimen pembangkang wajar diteruskan untuk kesinambungan pembangunan negara. - Foto hiasan/BERNAMA
RASANYA ramai tahu mengenai isu peruntukan RM1.4 juta untuk Parlimen Bagan di Pulau Pinang yang dikatakan 'dirampas' Tasek Gelugor, kawasan berjiran yang dikuasai pembangkang.
Seolah-olah wujud polemik apabila wakil rakyat Bagan dilapor menuntut penjelasan selepas mendakwa sebahagian peruntukan RM5.6 juta untuk menaik taraf jalan Persekutuan di kawasannya itu disalur ke Tasek Gelugor.
Suhu bertambah panas apabila menyusul komen beberapa pemimpin seangkatan - ada menuntut penjelasan dan ada pula mempertahan. Bagaimanapun bahang tak bertahan lama apabila penjelasan diberi EXCO negeri bertanggungjawab.
Realitinya, isu peruntukan khususnya untuk kawasan Parlimen dikuasai pembangkang bukan permasalahan kecil. Polemik juga sering dibangkitkan seolah-olah wujud 'pilih kasih' yang membezakan antara wakil rakyat blok kerajaan dengan pembangkang dari segi peruntukan.
Lebih teruk ada pula mendakwa isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai 'alat tebusan politik' dengan menggambarkan seolah-olah hak rakyat dan pengundi di kawasan diterajui wakil rakyat pembangkang dinafikan.
Lihat sahaja apa berlaku kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan yang terpaksa menempuh pilihan raya kecil (PRK). Ia juga antara lain turut dikaitkan isu peruntukan kepada wakil rakyat. RM1.6 juta digunakan untuk penganjuran PRK itu.
Mujur enam lagi kerusi membabitkan lima Parlimen dan satu DUN yang turut memilih laluan sama seperti Nenggiri tidak perlu diadakan PRK.
Realitinya, selagi memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Perpaduan dengan Ahli Parlimen pembangkang belum ada titik muktamad, polemik sebegini akan terus kedengaran, meskipun jaminan acap kali diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Kerajaan Perpaduan tidak sekali-kali menganaktirikan mana-mana negeri atau kawasan yang diterajui blok Perikatan Nasional (PN).
Contoh mudah apa berlaku antara Bagan dengan Tasek Gelugor. Ia bukti jelas peruntukan disalur tidak mengenal erti sempadan politik, sebaliknya dibuat mengikut keperluan. Begitu juga berlaku bagi empat negeri ditadbir PN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Berdasarkan MoU sedang dirunding, peruntukan adil kepada Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan bertujuan memastikan mereka mempunyai sumber mencukupi bagi menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Namun perlu diingat, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Ahli Parlimen bukan diberi secara khusus kepada wakil rakyat terbabit.
Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan terbabit adalah untuk pembangunan infrastruktur dan sosial kawasan berkenaan. Maksud, tiada dinyatakan secara spesifik peruntukan diagih untuk Ahli Parlimen, sebaliknya wakil rakyat hanya berperanan mengkoordinasi atau menyelaras peruntukan disalurkan.
Lalu mengapa isu peruntukan digembar-gembur sebagai inti pati paling utama dalam MoU yang sedang dirunding antara Kerajaan Perpaduan dengan Ahli Parlimen Pembangkang itu? Jika dilihat ia sebenarnya sebahagian obligasi Kerajaan Persekutuan, satu daripada enam perkara utama MoU berkenaan. Lima lagi perkara utama disenarai adalah tempoh berkuat kuasa, obligasi PN, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.
Perjanjian untuk kestabilan politik
Hakikatnya, MoU antara Kerajaan Perpaduan dengan Ahli Parlimen pembangkang adalah satu bentuk perjanjian yang dicadangkan untuk memastikan kestabilan politik dan melancarkan pentadbiran negara. Ini sepatutnya dijadikan titik fokus utama dalam mencapai kata sepakat.
Perlu diingat, kestabilan politik kunci utama untuk membolehkan kerajaan menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi dan menangani isu rakyat tanpa gangguan politik berterusan.
Dengan kestabilan politik dan dasar negara yang jelas, imej negara di mata dunia dapat dilonjak, sekali gus menyuntik hasil pelaburan tinggi. Hasilnya sendiri sudah dapat kita sama-sama dilihat.
Satu lagi inti pati penting apabila MoU tidak menafikan peranan pembangkang dalam melakukan semak dan imbang, sebaliknya ia tetap digalakkan dengan peranan lebih konstruktif.
Apa pun, PN melalui kenyataan media pada 15 September lalu mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen gabungan itu.
Antara alasan diberikan adalah cadangan MoU berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.
Namun, Fadillah yang diberikan tanggungjawab dalam mengetuai rundingan berkaitan MoU itu menegaskan pintu rundingan masih terbuka.
Semangat ini harus disahut Ahli Parlimen pembangkang, ibarat 'buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat'. Syarat utama letakkan kepentingan rakyat sebagai sempadan, bukannya perbezaan dalam ideologi politik.
Justeru, kedua-dua pihak perlu bersedia meneruskan rundingan bagi memastikan kata sepakat dapat dicapai. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, lantas apa jaminan untuk MoU antara Kerajaan Perpaduan dan Ahli Parlimen pembangkang berhasil dimuktamadkan?
Penulis adalah Pengarang Berita BH
Ulasan
Catat Ulasan