Dadah musuh No.1 tidak selesai selepas 40 tahun

Dadah musuh No.1 tidak selesai selepas 40 tahun
Oleh Teon Eg
9 Oktober 2024, 6:46 am

ISU dadah yang diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara sejak 1983 tidak nampak berkesan. Malah dari hari ke hari muncul pelbagai jenis dadah baharu yang ‘memikat’ semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat, pekerja kerajaan atau pekerja swasta, penganggur termasuk kalangan pelajar.

Antara dadah terbaharu sedang mengancam populasi penduduk ketika ini seperti fentanyl. Fentanyl sejenis dadah sintetik versi terkini didakwa mempunyai kesan 100 kali ganda lebih bahaya berbanding morfin.

Ancaman gula-gula lolipop khayal didakwa turut berlegar-legar menerusi platform e-dagang yang membolehkan sesiapa sahaja boleh mencuba dengan membeli dengan mudah. Tidak terkecuali, versi cecair vape pelbagai perisa bercampur dadah dilihat sukar disekat walaupun Akta 852 sudah dikuatkuasakan awal bulan ini.

Nampaknya, selepas lebih 40 tahun, musuh nombor satu itu terus kekal gah apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin mendedahkan setakat Julai tahun ini sahaja kes dadah telah meningkat 90 peratus iaitu 96,054 kes berbanding 50,476 kes sepanjang tahun lepas.

Terbaharu, isu dadah terus menarik perhatian apabila 12 anggota dan pegawai polis di Sungai Petani, Kedah ditahan bukan sahaja berhibur tetapi masing-masing positif dadah.

Difahamkan antara yang ditahan ada membabitkan pegawai yang mengetuai jabatan di tempat mereka berkerja. Isu ini bukan yang pertama, tinggal lagi tidak sentiasa dihebahkan. Dari sini jika anggota penguat kuasa sendiri tidak boleh menahan diri menjebakkan diri dengan dadah, apalah sangat dengan orang yang bukan diamanahkan membanteras dadah.


Dadah pula pelbagai jenis dan direka bentuk mengikut peredaran masa demi menarik semua golongan. Contohnya, jika dahulu kaki dadah lazimnya berkumpul di satu tempat untuk sama-sama membeli dan mengambil dadah namun taktik terkini ramai yang mengambil dadah secara solo dan masing-masing tahu menjaga penampilan.

Sebenarnya isu najis dadah terlalu biasa dan membosankan namun apabila aktiviti itu turut melibatkan orang kenamaan, penguat kuasa dan kakitangan kerajaan ia terus sensasi.

Contoh mengenai 12 anggota dan pegawai polis yang terjebak dengan pusat hiburan dan mengambil dadah yang kini sedang mencetus kecaman orang awam terhadap PDRM.

Perbuatan terbaharu geng 12 polis itu menampakkan betapa ‘buruknya’ integriti mereka. Mereka yang dibayar gaji dan diberi kuasa untuk memerangi dadah sebaliknya berkelakuan ‘songsang’ dengan turut mengambil dadah.

Isu integriti polis terus ‘hitam’ apabila empat anggota polis termasuk Inspektor di sebuah balai di Selangor ‘tertangkap’ kerana membawa masuk wanita ke balai itu untuk ‘berparti’.

Justeru, jika gejala tidak bermoral seperti ini turut membabitkan penguat kuasa dijangka sampai bila-bila pun musuh nombor satu negara ini tidak akan terhapus.

Pembabitan dadah dan salah laku warga polis, secara tidak langsung turut menggambarkan amaran pengarah-pengarah peringkat Bukit Aman secara terbuka kepada warganya selama ini tidak dipeduli. Malah, lawatan mengejut demi lawatan mengejut

Ketua Polis Negara ke balai dan kontinjen polis selama ini juga tidak menjadi.

Salah laku atau untuk jadi jahat adalah pilihan, namun adalah tidak adil kepada rakyat jika anda yang dibayar gaji bukan sahaja tidak menjalankan tangggungjawab malah turut merosakkan lagi imej organisasi diwakili anda.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan