Elak ungkit keaiban pasangan selepas bercerai - Zulkifli
Oleh Affan Rostam - Oktober 8, 2024 @ 12:01pm
Zulkifli memuatkan artikel bertajuk ‘Dilema rumah tangga: Untuk mereka yang berbahagia, bertahan, sedang berjuang dan sedang terluka’ dalam aplikasi X untuk berkongsi kesedaran.
KUALA LUMPUR: Perceraian sewajarnya menjadi pilihan terakhir selepas segala usaha memperbaiki keadaan sudah dilakukan, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Melalui artikel dimuat naik di aplikasi X bertajuk 'Dilema rumah tangga: Untuk mereka yang berbahagia, bertahan, sedang berjuang dan sedang terluka', Zulkifli menjelaskan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadang-kala menguji kekuatan sesebuah hubungan dalam perkahwinan.
"Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini. Namun, Islam mengingatkan meskipun perceraian dibenarkan, tetapi ia adalah perkara paling dibenci Allah dalam kalangan yang halal.
"Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir selepas segala usaha untuk memperbaiki keadaan dilakukan.
Disyorkan
"Jika perpisahan tidak dapat dielakkan, Islam mengajar untuk melepaskan pasangan dengan cara baik dan penuh ihsan.
"Benarlah hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar R Anhuma bahawa Rasulullah bersabda: Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak. Riwayat Abu Daud," jelas Zulkifli.
Zulkifli berkata, hendaklah difahami dan amalkan apa yang diperintahkan Allah berhubung soal talak sebagaimana firman-Nya bermaksud atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah al-Baqarah: 229).
"Yakni menceraikan dengan cara baik, iaitu dengan tidak merujuknya sampai selesai masa edah, melepasnya ke rumah keluarga dengan perkataan yang baik dan memberinya mutaah (hadiah atau harta).
"Sikap ini penting agar tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak-hak kedua-dua suami dan isteri tetap terjaga," jelasnya.
Pada masa sama, Zulkifli memberitahu, tindakan membuka aib pasangan terutama selepas bercerai perlu dielakkan.
"Sebagai manusia, kita digalakkan untuk mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan, terutama selepas perpisahan.
"Islam mengajarkan melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
"Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika perasaan berubah, kekurangan kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.
"Justeru, selepas berpisah, berilah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam," katanya.
Selain itu, melalui hantaran sama, Zulkifli mengingatkan, sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.
"Jangan sekali-kali mencederakan emosi kerana anak-anak mempunyai hak merasai kasih sayang ibu bapa.
"Anak-anak adalah amanah Allah dan kita wajib menjaga kebajikan mereka dengan penuh perhatian.
"Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada Allah adalah sandaran utama sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran dan petunjuk dalam melalui ujian ini.
"Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan Tuhan, menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup," katanya.
Akhir sekali, Zulkifli menyarankan agar menjadi seorang yang sentiasa mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.
"Di dalam situasi penuh dengan konflik, sebaiknya kita berusaha untuk menjadi orang yang mendamaikan dan memperbaiki keadaan.
"Firman Allah dalam surah al-Hujurat mengingatkan kita untuk mendamaikan dua saudara yang bertelingkah kerana sesungguhnya umat Islam itu bersaudara.
"Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran kedua-dua pihak.
"Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing," katanya.
Sebelum ini, pelbagai berita perpisahan antara pasangan yang berkahwin terutama dalam kalangan selebriti dan pempengaruh menjadi topik perbahasan ramai dalam media sosial.
Semalam, kisah perceraian pasangan pelakon sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura yang bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam turut menjadi topik hangat.
Ulasan
Catat Ulasan