Jumlah mangsa banjir meningkat di tiga daerah Kedah
October 8, 2024
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 734 orang membabitkan 216 keluarga sehingga pukul 4 petang hari ini berbanding 439 mangsa (122 keluarga) yang direkodkan 8 pagi tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kubang Pasu, Pendang dan Kota Setar.
Menurut data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 264 orang (88 keluarga), diikuti Pendang seramai 237 orang membabitkan 58 keluarga.
Sementara di Daerah Kota Setar pula seramai 233 orang daripada 70 keluarga.
Dalam pada itu, lapan sungai di negeri itu masih berada pada paras bahaya, antaranya Sungai Laka, Sungai Padang Terap, Sungai Sari dan Sungai Perik.
Ia juga membabitkan Sungai Bata di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit iaitu di Taman Aman dan Jambatan TAR di Kota Setar serta Sungai Titi Kerbau di Pendang. – HARAKAHDAILY 8/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan