Kod tatakelola: Platform media sosial diberi tempoh dua bulan


Kod tatakelola: Platform media sosial diberi tempoh dua bulan
FAHMI Fadzil ketika Sambutan Hari Pos Sedunia di Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur semalam.
Oleh NURUL IRDINA SUMALI dan SYAHIRAH ZAKARIA
10 Oktober 2024, 6:38 am

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memberi masa dua bu­lan kepada semua platform media sosial untuk meneliti draf pertama kod tatalaku melibatkan platform media sosial yang bakal siap hujung Oktober ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, masa dua bulan turut diberikan kepada semua penyedia perkhidmatan untuk mendaftar di bawah agensi itu sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.


Ia akan melibatkan platform media sosial yang menyediakan aplikasi seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Wechat, Tiktok atau sebarang penyedia perkhidmatan yang mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia.

“Kita telah mengusahakan perbincangan dengan platform-platform media sosial untuk membangunkan kod tatalaku yang akan disiapkan draf pertamanya hujung Oktober dan kita beri masa kepada semua platform media sosial untuk me­nekuni isi kandungan kod tatalaku tersebut

“Kita juga beri masa selama dua bulan yang berbaki tahun ini kepada mereka untuk ber­daftar dengan MCMC.

“Kegagalan berdaftar, sekiranya mereka cukup syarat, maka akan ada beberapa tindakan undang-undang yang boleh diambil,” kata Fahmi dalam sidang akhbar Sambutan Hari Pos Sedunia di Kompleks Dayabumi di sini, semalam.

Terdahulu, Fahmi mengumumkan, MCMC sedang membina kod tatalaku sebagai panduan kepada platform media sosial agar tindakan boleh dikenakan kepada pengguna sekiranya mereka me­langgar kod berkenaan.

Menurutnya, pusingan pertama perbincangan melibatkan kod itu telah dilakukan pada 3 September yang lalu.

Sementara itu, MCMC turut mengikuti rapat perkembangan berhubung aspek pornografi dan jenayah seksual melibatkan aplikasi Telegram dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama pihak aplikasi itu.

“MCMC telah mengadakan siri pertemuan dengan pihak Telegram dan kita mengikuti dengan rapat apa yang sedang berlaku.

“Pihak kerajaan juga tidak berhasrat untuk menahan kakitangan daripada mana-mana platform media sosial termasuk sistem penghantaran mesej dalam internet seperti Telegram dengan syarat mereka memberikan kerjasama yang baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, MCMC telah melantik satu badan penasihat bagi meneliti keperluan meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 agar bersesuaian dengan perkembangan semasa dalam industri pos dan kurier di Malaysia.

Fahmi memberitahu, kewajaran untuk meminda Akta Per­khidmatan Pos 2012 mengambil masa dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.

Katanya, pindaan Akta Per­khidmatan Pos 2012 dijangka dapat digunakan pada awal tahun 2026.

“Melalui pindaan Akta Per­khidmatan Pos 2012, perkhidmatan pos dan juga kurier akan berdasarkan transformasi yang bersesuaian dengan perkemba­ngan semasa.


Ads by Kiosked

“Pindaan akta ini juga bagi menambah baik taraf perkhid­matan serta memastikan isu yang melibatkan kepuasan pe­langgan dapat diatasi,” katanya. –UTUSAN

Ulasan