Krisis kemanusiaan terbesar abad ini?
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
8 Oktober 2024, 7:46 am
Setahun sudah berlalu perang di Gaza. Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh dengan sebahagian besarnya adalah rakyat yang tidak berdosa, kanak-kanak dan bayi yang tidak tahu apa-apa.
Hari ini Gaza terus dibom oleh rejim zionis Israel walaupun keseluruhan wilayah itu sudah hancur berkecai. Sekolah, hospital, masjid dan segala kemudahan awamnya musnah. Alasan Israel, masih ada saki baki anggota Hamas yang perlu dibunuh.
Tindakan zalim Israel itu dikutuk dunia dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dituduh sebagai pengganas dan penjenayah perang.
Namun semuanya hanya di atas kertas. Tidak ada tindakan pun terhadap negara itu dan pemimpinnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak mampu berbuat apa. Sekadar mengutuk keras tindakan zalim Israel selain menggerakkan misi kemanusiaan menghantar bantuan makanan.
Kuasa veto juga terutama daripada Amerika Syarikat (AS) seringkali menyekat usaha PBB dalam membawa kedamaian di wilayah itu.
Sebab itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan agar kuasa veto itu dimansuhkan sahaja kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam konflik di Gaza.
Sebaliknya Israel terus mengganas, tidak cukup dengan Gaza, mereka menyerang pula negara jiran Lubnan kerana pejuang Hizbullah di negara itu dituduh menyokong Hamas.
Kedua-dua-nya bagi Israel perlu dihapuskan. Israel kononnya menjadi mangsa dalam konflik itu dan dunia perlu bersama rejim tersebut menentang keganasan.
Lebih teruk kata Israel, mereka cuba menyelamatkan dunia daripada keganasan yang dilakukan Hamas dab Hizbullah.
Sedangkan Israellah punca segalanya. Mereka yang memulalan penjajahan di Palestin dan sehingga kini terus melakukan genosid.
Hamas dan Hizbullah adalah anak watan yang mempertahankan negara mereka dan agama Islam yang diperkotak-katik oleh Israel.
Lubnan dikatakan akan menjadi seperti Gaza. Hancur dan musnah apabila serangan bom berterusan dilakukan rejim zionis.
Hospital juga tidak terkecuali. Ia sama seperti di Gaza. Hamas didakwa bersembunyi dalam premis awam begitu dengan anggota Hizbullah. Senjata seperti roket didakwa disembunyikan di bawah rumah orang awam. Ia hanya alasan Israel untuk menghalalkan tindakannya.
Konflik di Asia Barat itu memasuki episod baharu apabila Iran yang mempertahankan Hamas dan Hizbullah melancarkan roket dan peluru berpandu ke Israel pada awal bulan ini.
Senario itu membuka satu lagi konflik dunia yang lebih buruk akan berlaku iaitu ancaman perang nuklear. Kedua-dua negara memiliki senjata itu. Silap percaturan kedua-dua negara akan musnah disebabkan bom tersebut.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan