Kronologi kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati
Oleh Wartawan BH - Oktober 8, 2024 @ 9:11pm
Bekas peguam, N Pathmanabhan dan dua lagi kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
KUALA LUMPUR: Bekas peguam, N Pathmanabhan dan dua lagi kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010.
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bekas peguam dan pekerja ladang yang didapati bersalah membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya kekal dihukum gantung sampai mati.
Berikut adalah kronologi kes pembunuhan membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47 bersama tiga rakannya iaitu pegawai bank, Noorhisham Mohamad, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010.
30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Noorhisham, Ahmad Kamil, dan Kamaruddin, dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting untuk urusan berkaitan tanah.
6 September 2010: Kenderaan SUV BMW X5 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WTL 11 yang digunakan Sosilawati pada hari beliau dilaporkan hilang ditemui di tempat letak kereta Flat Angsana, Apartmen USJ, Subang Jaya.
Sementara itu, BMW hitam dengan nombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil, ditemui berhampiran sebuah rumah teres dua tingkat dekat Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.
9 September 2010: Lima suspek ditahan di sebuah ladang di Banting, Selangor.
11 September 2010: Seorang peguam yang bergelar 'Datuk' dan adiknya yang juga seorang peguam ditahan untuk membantu siasatan.
12 September 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan keempat-empat individu terbabit dibunuh dengan kejam, dibakar di sebuah ladang, dan abu mereka dibuang ke dalam sungai berhampiran.
13 Oktober 2010: N Pathmanabhan bersama T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting, Selangor atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil, dan Kamaruddin.
15 Oktober 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas U Suresh dan K Sarawanan selepas mereka mengaku bersalah kerana memusnahkan bukti kes pembunuhan itu.
21 Februari 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meningkatkan hukuman penjara Suresh dan Sarawanan kepada 20 tahun kerana menghapuskan bukti kes pembunuhan terbabit.
4 Julai 2011: Perbicaraan kes pembunuhan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
30 April 2012: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil, dan Kamaruddin selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
23 Mei 2013: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman mati ke atas keempat-empat tertuduh selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil, dan Kamaruddin.
4 Disember 2015: Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Pathmanaban, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan terhadap sabitan serta hukuman mati bagi pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga yang lain.
16 Mac 2017: Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rendah terhadap Pathmanaban, Thilaiyalagan dan Kathavarayan bagi sabitan dan hukuman mereka.
Namun, Mahkamah Persekutuan membebaskan Matan dengan menyatakan kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan dalam menjatuhkan sabitan dan hukuman mati ke atasnya.
Ulasan
Catat Ulasan