Manfaatkan kepakaran China perkasa Malaysia di pentas dunia
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Oktober 28, 2024 @ 10:00am
Projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara contoh konkrit sumbangan China dalam pembangunan infrastruktur Malaysia. - Foto NSTP
FORUM 50 Tahun Hubungan Malaysia-China anjuran Othman Yob Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyaksikan perbincangan mendalam terhadap 50 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Ia tempoh cukup signifikan, sekali gus menjadi bukti kepada kekuatan, kepercayaan dan kerjasama terjalin antara kedua-dua negara sejak setengah abad lalu.
Pada 31 Mei 1974 menyaksikan saat penting apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, membuat keputusan berani dan penuh visi dengan menjalin hubungan rasmi dengan China ketika era Perang Dingin, manakala Malaysia masih lagi menghadapi ancaman pengganas komunis.
Keputusan itu bukan sahaja menjadi pencetus kepada hubungan semakin kukuh antara dua negara di Asia, bahkan meletakkan asas kukuh untuk kerjasama serantau dan antarabangsa lebih baik.
Disyorkan
Keberanian Abdul Razak memulakan hubungan diplomatik dengan China ketika itu adalah langkah berpandangan jauh dan menunjukkan keyakinan terhadap potensi kerjasama boleh dibina.
Sejak itu, Malaysia dan China melalui pelbagai fasa perkembangan dalam hubungan dua hala hingga hari ini, kita dapat melihat hasil daripada usaha gigih, dialog berterusan dan kesediaan untuk bekerjasama di pelbagai peringkat.
Di sebalik cabaran global dihadapi, kedua-dua negara berjaya mengekalkan hubungan baik dan terus mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Kerjasama antara Malaysia dengan China bukan baharu. Kerjasama kita tekankan juga berbentuk peradaban kerana tamadun China melahirkan pendekatan dan falsafah masih relevan dalam konteks peradaban moden masa kini.
Konfusius yang hidup sekitar 551-479 Sebelum Masihi misalnya, seorang ahli falsafah China terkenal. Pemikirannya menekankan konsep perikemanusiaan (ren) dan konsep tatasusila (li) mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan masyarakat Cina hingga hari ini.
Konfusius juga amat menekankan adat dan tatasusila dalam ketamadunan China. Apa yang jelas, dari perspektif Islam, agama dan akhlak sebagai teras pembentukan masyarakat Madani, dibawa melalui agenda Malaysia MADANI.
Konsep 'umran' Ibnu Khaldun
Apabila berbicara mengenai Madani dan peradaban, penulis teringat Ibnu Khaldun yang menamakannya sebagai 'umran' menekankan aspek kemakmuran sesebuah masyarakat.
Beliau mentakrifkan umran sebagai 'keadaan masyarakat digerakkan sekumpulan anggota bekerjasama di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi matlamat hidup selesa lagi makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama, akhlak, hukum serta peraturan kejadian alam serta manusia ciptaan Allah.'
Di sinilah bermula pengamalan agama dalam bentuk paling sempurna diikuti pembentukan masyarakat MADANI meliputi aspek keagamaan, kemasyarakatan, siyasah, muamalah dan pendidikan.
Penulis juga melihat antara aspek paling menonjol dalam hubungan Malaysia-China adalah dalam bidang ekonomi. Hari ini, China rakan dagang terbesar Malaysia, manakala kita antara rakan dagang utama China di Asia Tenggara.
Hubungan perdagangan dua hala berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu dan terus menjadi landasan utama dalam hubungan kita. Pada 2024, China terus menjadi rakan dagangan Malaysia terbesar membabitkan nilai pelaburan China ke Malaysia sebanyak RM151.06 bilion.
Prestasi eksport Malaysia ke China bagi tempoh sama pula direkodkan berjumlah RM58.6 bilion dengan barangan elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang nilai terbesar iaitu 40.5 peratus daripada keseluruhan angka berkenaan.
Selain itu, katanya, prestasi import direkodkan bernilai RM92.46 bilion, antaranya membabitkan produk E&E, jentera, peralatan dan komponen serta bahan dan produk berkaitan kimia.
Syarikat China buat pelaburan strategik
Kerjasama ini tidak hanya tertumpu kepada sektor perdagangan barangan, bahkan membabitkan pelaburan strategik dalam pelbagai sektor utama. Syarikat China membuat pelaburan besar di negara ini, terutama dalam sektor pembuatan, teknologi, pembinaan dan infrastruktur.
Projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Taman Perindustrian Kuantan China-Malaysia adalah contoh konkrit kepada sumbangan China dalam pembangunan infrastruktur Malaysia.
Syarikat Malaysia juga aktif dalam sektor perkhidmatan, terutama dalam bidang kewangan dan pendidikan di China. Ini menunjukkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara bersifat dua hala dengan faedah dinikmati kedua-dua pihak.
Namun, hubungan ekonomi antara Malaysia dengan China tidak terhenti setakat perdagangan dan pelaburan. Kerjasama dalam bidang inovasi dan teknologi mula menjadi tunjang penting dalam hubungan dua hala ini. China, sebagai antara negara terkemuka dalam bidang teknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI), mula menjalin kerjasama dengan institusi penyelidikan dan syarikat teknologi di Malaysia.
Ini membuka peluang besar untuk Malaysia memanfaatkan kepakaran China dalam usaha menjadi negara berteknologi tinggi dan inovatif.
Selain hubungan ekonomi semakin berkembang, hubungan Malaysia-China diperkukuhkan melalui pertukaran dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Pendidikan antara alat penting 'kuasa lunak' dalam merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara. Dalam hal ini, kita melihat banyak pencapaian membanggakan.
Setiap tahun, ratusan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di China, manakala pelajar China juga semakin ramai memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan mereka.
Semakin ramai pelajar China pilih Malaysia
Bilangan pelajar dari China memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan merekodkan peningkatan agak ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Lebih 44,000 pelajar China kini dilaporkan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini seiring matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadikan Malaysia sebagai destinasi hab pendidikan tinggi global menjelang 2025.
Antara faktor mendorong pelajar China memilih negara ini untuk melanjutkan pengajian ialah kualiti pendidikan ditawarkan selaras standard antarabangsa dan kebanyakan universiti kita mempunyai kerjasama dengan universiti terkenal dari negara lain termasuk United Kingdom (UK), Australia dan Amerika Syarikat (AS).
Di samping itu, program kebudayaan dan seni antara Malaysia dengan China sudah lama menjadi jambatan menyatukan rakyat kedua-dua negara. Malaysia dan China berkongsi banyak nilai budaya, terutama melalui warisan budaya masyarakat Cina lama berakar umbi di Malaysia.
Acara kebudayaan seperti festival makanan, pertunjukan seni dan pertukaran budaya memperkayakan hubungan kita, sekali gus mengukuhkan rasa saling menghormati dan keakraban antara kedua-dua negara.
Penulis adalah Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Ulasan
Catat Ulasan