NADMA ambil alih pengurusan peringkat negeri jika bencana tahap III
Oleh Suzalina Halid - Oktober 10, 2024 @ 1:13pm
Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus. - Foto fail NSTP/Saifullizan Tamadi
KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengambil alih pengurusan bencana dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri jika bencana itu berada pada tahap III.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengurusan bencana tahap III ialah pengendalian bencana yang berlaku lebih daripada satu negeri atau bersifat kompleks di suatu kawasan, sehingga memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat pusat atau dengan bantuan dari luar negara.
Katanya, mekanisme pengurusan bencana itu dikuatkuasakan melalui dasar baharu iaitu arahan NADMA Nombor 1 yang ditambahbaik daripada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 sejak Ogos lalu.
"Di dalam arahan itu, ia tidak hanya spesifik kepada pengurusan dan pengendalian bencana banjir sahaja, malah kepada keseluruhan jenis insiden bencana yang pernah berlaku di negara kita.
"Namun sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu negeri, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat negeri masing-masing, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap II," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan arahan NADMA Nombor 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata menerusi arahan itu, kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Pada masa sama, Khairul Shahril berkata pengurusan bencana tahap I ialah pengendalian bencana yang berlaku di sesuatu kawasan dan ia dapat ditangani dengan berkesan oleh agensi terbabit di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, yang memerlukan penggemblengan sumber di peringkat daerah dengan bantuan terhad daripada peringkat negeri dan Pusat.
Katanya, sementara pengurusan bencana tahap II pula ialah pengendalian kejadian bencana yang berlaku lebih daripada satu daerah di negeri sama atau berlaku di suatu kawasan yang memerlukan penggemblengan
sumber di peringkat negeri dengan bantuan terhad daripada peringkat Pusat.
"Namun, sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu daerah, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat daerah, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap I.
"Walaupun NADMA tidak terbabit secara langsung untuk pengurusan bencana tahap I dan tahap II, kita masih menyelaras dari segi penggemblengan aset dan juga tenaga kerja yang membabitkan agensi kerajaan Pusat," katanya.
Mengulas mengenai jangkaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) seawal minggu keempat bulan ini, Khairul Shahril berkata, persediaan NADMA adalah berada dalam posisi terbaik.
Katanya, dalam memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum, NADMA sentiasa mengadakan latihan amal sepanjang tahun membabitkan agensi tindak balas, pengurus bencana serta badan bukan kerajaan (NGO).
"Kejadian bencana atau banjir sememangnya kita tidak boleh membuat jangkaan namun persediaan dalam menghadapi dan menguruskan bencana itu harus berada di tahap terbaik.
"Dalam aspek ini bagi memastikan semua agensi tindak balas dan pihak terbabit dalam pengurusan bencana di pelbagai peringkat, bersedia untuk memainkan peranan masing-masing apabila berlaku bencana.
"Perkara ini penting supaya semua yang terbabit ada pengalaman dalam mengendalikan sesuatu operasi bencana," katanya.
Sebelum ini,Ahmad Zahid menyatakan MTL dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.
Khairul Shahril berkata pemantauan mengenai sebarang kebarangkalian berlaku bencana juga sentiasa dilaksanakan secara bersama dengan Sekretariat Bencana Daerah dan Negeri.
Katanya, bagi agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) pula akan membuat pemantauan pada cerun yang kritikal dan berisiko.
"Selain itu, NADMA juga melaksanakan program kesedaran awam Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dengan pelbagai sesi libat urus dijalankan bersama komuniti setempat terutama kepada penduduk yang tinggal di kawasan banjir.
"Ini bagi mempersiapkan mereka supaya mampu untuk bertindak tanpa menunggu bantuan dari agensi tindak balas ketika berlaku banjir," katanya.
Khairul Shahril meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Sentiasa peka dan patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara. Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan